Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari semasa meninjau kawasan perumahan Mentari Court susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di PJS 8, Petaling Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 05 JULAI 2021.

PETALING JAYA – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mentari Court akan dijadikan PKPD contoh dalam memastikan ujian saringan dan pemberikan vaksin diberikan serentak kepada penduduk yang didapati negatif Covid-19.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia dilaksanakan bagi memastikan kes positif Covid-19 dapat dipastikan jumlahnya, sekali gus memaksimumkan jumlah penduduk yang diberikan vaksin di PKPD itu.

“Daripada 9,000 yang ada di sini, kita jangkakan dengan vaksinasi yang akan berjalan mulai hari ini sampai Jumaat nanti kita akan dapat mevaksin lebih 9,000 orang terutamanya yang negatif dan ini adalaah sebahagian daripada formula baru kita dalam PKPD,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke kawasan PKPD Mentari Court hari ini.

Menurut beliau, ini adalah elemen baharu yang dilaksanakan kerajaan negeri Selangor yang mana kuarantin dan vaksin dilakukan serentak.

Malah katanya, segala program yang dibuat di PKPD ini akan turut dilakukan di PKPD Taman Murni, Sepang dan beberapa lagi lokaliti yang akan tetapkan.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, seramai 127 daripada 1,200 individu di kawasan PKPD Mentari Court disahkan positif wabak berkenaan.

Menurut beliau, sekiranya trend jangkitan itu kekal, kadar jangkitan wabak berkenaan dijangka boleh mencecah sehingga 400-500 individu selepas ini.

Hadir sama lawatan itu adalah Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar dan Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, PKPD Mentari Court juga sedikit berlainan berikutan beberapa kemudahan ditambah termasuk proses vaksinasi yang dilaksanakan melibatkan penduduk negatif Covid-19.

“Kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menyediakan kemudahan seperti mobile clinic dan Covid-19 Assesement Center (CAC) di sini.

“Seramai 1,553 orang penduduk di sini dijadual menerima vaksin bermula hari ini (Isnin) bagi memastikan penularan dalam komuniti dapat diputuskan,” katanya. – MalaysiaGazette