PPVIN KLIA dibuka hari ini.

KUALA LUMPUR – Pusat Pemberian Vaksinasi Industri (PPVIN) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) khas untuk sektor pengangkutan udara telah mula dibuka hari ini sehingga 24 September bagi mempermudah dan mempercepatkan program vaksinasi seramai lebih kurang 22,243 pekerja sektor penerbangan serta yang berkaitan di KLIA.

Program vaksinasi itu diadakan di Anjung Tinjau, Terminal 1, KLIA dari jam 8 pagi sehingga 6 petang pada hari Isnin hingga Jumaat.

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada hari ini meneruskan Program Pemberian Vaksin bagi Sektor Pengangkutan dengan pelancaran pembukaan Pusat Pemberian Vaksinasi Industri (PPVIN) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), khas untuk Sektor Pengangkutan Udara.

Melalui program ini, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bekerjasama dengan beberapa syarikat industri penerbangan seperti Malaysia Airlines Berhad, Malindo, syarikat pengendalian darat AeroDarat, syarikat-syarikat penerbangan asing yang diwakili oleh Airline Operators Committee (AOC) dan pekerja kargo yang diselaraskan oleh Airfreight Forwarders Association of Malaysia (AFAM).

Pekerja=pekerja sektor penerbangan menunggu giliran untuk proses vaksinasi di PPVIN KLIA.

MoT berkata, bagi sektor pengangkutan darat yang melibatkan pengangkutan awam darat, beberapa PPV turut akan dibuka di beberapa lokasi di seluruh negara bagi memastikan 19,259 petugas rel dan pemandu bas dapat diberikan vaksinasi dalam masa terdekat.

Di samping itu, MOT bersama pihak CITF sedang menyelaraskan program vaksinasi kepada pemandu teksi/ e-hailing, pemandu bas dan petugas penghantar
barangan (p-hailing) dengan jumlah keseluruhan dianggarkan 355,064 orang di seluruh negara.

Program ini akan dilaksanakan di bawah PPV Awam dan kerajaan akan menanggung keseluruhan kos tersebut.

MOT komited dan akan terus bekerjasama dengan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) untuk menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), terutama dalam memastikan para petugas industri pengangkutan menerima vaksin secepat mungkin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast