KUALA LUMPUR – SME Bank memperkenalkan Program Sukuk Wakalah bernilai RM3 bilion dan akan menjadi Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) pertama di negara ini yang menerbitkan Sukuk Kelestarian bagi memenuhi keperluan dana dan modal kerjanya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penerbitan Sukuk Kelestarian oleh SME Bank adalah tepat pada masanya terutamanya sewaktu krisis ini berlaku kerana terdapat keperluan untuk menyeimbangkan antara menjalankan perniagaan untuk mendapatkan keuntungan dan melakukan kebaikan bagi memenuhi tanggungjawab terhadap faktor persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG).

Usaha SME Bank untuk menjadi sebahagian daripada trend global merupakan satu langkah yang bijak bagi menjamin jejak kewangan yang kukuh dalam landskap kewangan negara buat masa sekarang dan pada masa akan datang.

”ESG akan menjadi satu norma pada masa hadapan dan PKS kita perlu bersedia untuk menerima pakai prinsip-prinsip ini dalam operasi harian mereka. Kerajaan, pihak bank dan pihak berkepentingan yang memiliki kemampuan untuk melakukan perubahan perlu memimpin dan mendorong transformasi berterusan PKS,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, hasil daripada penerbitan Sukuk Kelestarian ini akan disalurkan untuk membiayai projek-projek yang secara langsung menyokong 11 dari 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Sebanyak 11 kategori yang terpilih diselaraskan dengan kategori projek hijau dan sosial yang diakui oleh Piawaian Bon Lestari ASEAN (ASEAN SUS), Piawaian Bon Sosial ASEAN (ASEAN SBS) dan Piawaian Bon Hijau ASEAN (ASEAN GBS) yang dikeluarkan oleh Forum
Pasaran Modal ASEAN (ACMF).

Di samping itu, 11 kategori ini juga diselaraskan dengan Garis Panduan Bon Lestari (SBG), Prinsip Bon Hijau (GBP) dan Prinsip Bon Sosial (SBP) yang dikeluarkan oleh Persatuan Pasaran Modal Antarabangsa (ICMA) dan mengikuti garis panduan standard dari Rangka Kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Aria berkata, kategori projek hijau ini mensasarkan enam sektor utama iaitu tenaga, pembuatan, pengangkutan, bangunan, sisa dan air.

Sektor-sektor ini telah dikenal pasti oleh Pelan Induk Teknologi Hijau bagi membantu pertumbuhan teknologi hijau di Malaysia.

Sementara itu, fokus bagi kategori projek sosial adalah untuk mewujudkan pekerjaan yang sesuai, meningkatkan kesaksamaan jantina, dan memberi peluang ekonomi kepada kumpulan sosial yang tidak mendapat bantuan dan mendapat bantuan yang tidak mencukupi di negara ini.

Dengan terbitnya Sukuk Kelestarian ini, SME Bank berada dalam kedudukan yang tepat untuk mempromosikan dan mendidik tentang pentingnya memasukkan ESG dalam operasi perniagaan semua PKS.

Ini akan membolehkan mereka membina perniagaan lestari, berkembang lebih besar dan menjadi perusahaan yang memenuhi standard antarabangsa,’ ujar Aria. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast