KYIV – Sekumpulan tentera wanita Ukraine yang terlibat latihan kawad memakai kasut tumit tinggi berwarna hitam mencetuskan kontroversi.

Mereka berpakaian demikian semasa terlibat latihan kawad kaki bersempena persiapan perbarisan Hari Tentera Ukraine mengakibatkan Kementerian Pertahanan di negara itu menerima kritikan pelbagai pihak.

Penganjur majlis dituduh sengaja berniat menghina tentera wanita dengan mencalar imej mereka.

Gambar latihan kawad itu disiarkan dalam laman web Facebook rasmi Kementerian Pertahanan Ukraine menunjukkan pelajar kolej tentera wanita sedang membuat persiapan untuk mengambil bahagian dalam perbarisan sempena 30 tahun merdeka selepas berpisah dari Kesatuan Soviet.

Menteri Pertahanannya, Andriy Taran bertanggungjawab untuk memberi penjelasan terhadap insiden ‘luar biasa’ yang dianggap memalukan itu.

Sekitar 31,000 wanita kadet tentera kini berkhidmat dalam Angkatan Tentera Ukraine.

Salah seorang daripadanya, Ivanna Medvid dilaporkan berkata, ia buat kali pertama latihan kawad diadakan mereka dengan memakai kasut tumit tinggi.

“Ia sedikit sukar berbanding kasut but tentera yang kami gunakan secara lazim selama ini,” katanya.

Sesi latihan perbarisan itu berlangsung di ibu kota Ukraine, Kiev Jumaat lalu.

Sementara itu, pemimpin wanita dari Parti Golos, Inna Sovsun mendakwa apa yang berlaku membahayakan nyawa tentera wanita dan mengecam apa yang berlaku.

“ia agak sukar untuk mengimaginasikan idea yang bersifat bodoh dan memudaratkan ini (latihan berkasut tumit tinggi),” katanya.

Timbalan Speaker Parlimen Ukraine, Olena Kondratyuk juga membidas apa yang berlaku dan mahu satu siasatan menyeluruh dilaksanakan segera ke atas amalan jelik itu.

Malah ada desakan supaya menteri yang membawa idea tidak masuk akal itu supaya memakai kasut tumit tinggi dan hadir ke sidang Parlimen kelak.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast