Laman media sosial Dewan Bahasa dan Pustaka yang semakim mendapat perhatian warga net. Foto AFFAN FAUZI, 24 JUN 2021.

KUALA LUMPUR- “Bukan niat kami untuk menjadi halaman penghasut maya (troll) sebaliknya mahu menyebarkan maklumat mengenai khazanah-khazanah bahasa yang tersimpan di sini,” demikian penjelasan Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Dewan Bahasa Pustaka (DBP), Sharrul Rizal Hashim.

Beliau berkata demikian ketika ditanyakan mengenai perubahan ketara laman-laman media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan Telegram milik DBP yang semakin menarik dan terkini dengan isu-isu semasa sehingga menjadi bualan warga net kebelakangan ini.

Bercakap kepada MalaysiaGazette baru-baru ini, Sharrul Rizal berkata, idea untuk meremajakan laman media sosial DBP adalah cetusan Ketua Pengarahnya, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran yang ketika itu baru dinaikkan pangkat untuk menerajui agensi berkenaan.

Pada awal 2019, Abang Sallehuddin meminta DBP mengumpulkan anak-anak muda daripada pelbagai bidang untuk berbincang dan memberi pandangan bagi menambah baik sistem penyampaian maklumat bahasa yang mana salah satunya adalah melalui penggunaan media sosial secara optimum.

 

Laman media sosial Dewan Bahasa dan Pustaka. Foto AFFAN FAUZI, 24 JUN 2021.

Bagaimanapun, laman sosial DBP terutamanya Facebook mula menjadi perhatian warga net sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac tahun lepas apabila agensi itu mengeluarkan banyak kandungan yang diambil daripada petikan ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sama ada melibatkan istilah mahu pun peribahasa.

“Sebenarnya apabila pengikut media sosial kami mula bertambah, maka ramailah yang ‘tag’ kami pada isu-isu yang sedang hangat dibincangkan ketika itu.

“Maka di situlah timbul idea untuk memaparkan pantun atau peribahasa atau istilah yang bersesuaian dan apa yang menarik apabila kita semua dapat melihat bagaimana masyarakat dulu-dulu menggunakan peribahasa, pantun atau bidalan untuk menyatakan perasaan mereka sama ada mahu menegur, marah atau menyindir dan ianya masih relevan sehingga ke hari ini.

“Bagaimanapun, dalam banyak keadaan, kandungan yang dipaparkan di media sosial DBP tidak mempunyai kaitan dengan sesiapa atau isu yang sedang panas ketika itu cuma apabila pembaca melihat hantaran tersebut, mereka mengaitkannya dengan isu-isu tertentu sedangkan di pihak kami sekadar mahu berkongsi satu lagi khazanah bahasa untuk pembaca,” katanya lagi.

Menurut Sharrul Rizal, pentadbir media sosial DBP terdiri daripada 15 individu di ibu pejabat DBP, DBP Cawangan Sabah, Sarawak, DBP Wilayah Timur, DBP Wilayah Utara dan DBP Wilayah Selatan.

Orang ramai boleh mengakses pelbagai khazanah bahasa seperti istilah, terjemahan, pantun, peribahasa dengan cepat melalui laman prpm.dbp.gov.my. Foto AFFAN FAUZI, 24 JUN 2021.

Katanya, semua pihak mempunyai peranan masing-masing tetapi mereka akan mengadakan perbincangan setiap hari untuk memutuskan kandungan terbaik yang akan dimuat naik ke laman media sosial agensi itu.

Ketika ditanya bagaimana para pentadbir dapat membuat carian yang cepat sejajar dengan isu semasa yang dibincangkan warga net ketika itu, Sharrul Rizal berkata, mereka menggunakan Pusat Rujukan Persuratan Melayu atau PRPM yang juga boleh diakses oleh orang awam di laman https://prpm.dbp.gov.my/

Sekiranya, carian tersebut tidak ditemui, barulah mereka menggunakan buku-buku berkaitan yang terdapat di agensi berkenaan. – MalaysiaGazette