Gambar hiasan

PENULARAN wabak Covid-19 dan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberikan cabaran dan dugaan yang cukup besar kepada setiap individu dan keluarga sama ada daripada sudut emosi, fizikal, tingkah laku, ekonomi dan sebagainya.
Cabaran dan dugaan ini perlu ditangani dengan baik agar ia tidak menjadi punca berlakunya mudarat yang lebih besar seperti keganasan rumah tangga, penderaan anak-anak, penderaan mental dan emosi serta bunuh diri.

Setiap individu dalam sesebuah keluarga memainkan peranan penting agar kesejahteraan
dan keharmonian keluarga dapat dikekalkan dan dinikmati bersama. Antara golongan yang perlu diberikan perhatian serius sepanjang tempoh PKP ini adalah golongan ‘keluarga generasi sandwic’.

Berdasarkan kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPMKM-5) mendapati 68.2
peratus atau hampir enam juta wanita di negara ini dikategorikan sebagai ‘keluarga sandwic’ iaitu mereka yang menanggung bebanan menyara anak dan ibu bapa mereka serentak.

Mereka perlu mengimbangi kewajipan kerjaya, menjaga ibu bapa dalam masa yang sama
memberikan perhatian kepada anak-anak di rumah. Hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 mendapati prevalens kemurungan adalah tinggi dalam kalangan wanita (2.6 peratus) berbanding lelaki (2.0 peratus). Langkah-langkah penjagaan awal untuk mengawal peningkatan gangguan mental dalam kalangan wanita adalah penting.

Isu kesihatan mental dan keselamatan golongan wanita ini perlu diberikan perhatian serius sekiranya mereka perlu bekerja dari rumah (BDR) sepanjang PKP. Mereka perlu memantau Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi anak-anak, menyelesaikan tugasan kerja pejabat serta perlu melihat dan menjaga ibu bapa. Keadaan ini sering kali menjadi dilema dan menambahkan tekanan emosi kepada wanita dalam ‘keluarga sandwic’.

Anak-anak berada di rumah yang kadangkala sangat memerlukan perhatian sedikit
sebanyak mengurangkan produktiviti mereka dalam menyelesaikan tugasan kerja pejabat. Keadaan tekanan emosi dan mental akan menjadi lebih parah sekiranya wanita yang menjadi tonggak ekonomi ‘keluarga generasi sandwic’ ini terjejas sumber pendapatannya. Dua situasi yang perlu diperhatikan daripada golongan ini iaitu bagi mereka yang perlu bekerja dari rumah (BDR) dalam masa yang sama menjaga ibu bapa serta anak-anak dan mereka yang telah terjejas sumber pendapatan apabila dibuang kerja atau tidak boleh meneruskan kerja sepanjang tempoh PKP.

Peranan majikan, keluarga dan komuniti setempat

Bagi mereka yang perlu BDR, majikan harus memberi perhatian dan kerjasama. Majikan
perlu sering bertanyakan keadaan kebajikan mereka ketika berada di rumah. Majikan perlu fleksibel dalam memberikan tugasan dan menyiapkan tugasan bergantung kepada kerja yang lebih utama. BDR ini sedikit sebanyak boleh mengganggu produktiviti pekerja.

Antara yang utama adalah  berkaitan dengan konsentrasi atau fokus terhadap tugas hakiki yang dijalankan. Keadaan di rumah dengan anak-anak yang PdPR dan perlu menjaga ibu bapa menambah kurangnya konsentrasi terhadap kerja. Komunikasi berkesan perlu diwujudkan antara majikan dan pekerja.

Di samping itu, keluarga terdekat juga perlu sama memainkan peranan. Jika terdapat ahli
keluarga lain, mereka perlu sama-sama memikul tanggungjawab terhadap ibu bapa ini.
Sokongan dan bantuan dari sudut kewangan, penyediaan makanan, barang keperluan
harian, keperluan ke hospital bagi ibu bapa yang sakit dan sebagainya mampu
mengurangkan tekanan kepada mereka.

Jika golongan ‘keluarga sandwich’ ini tidak memiliki ahli keluarga terdekat, komuniti
setempat perlu memainkan peranan penting terhadap kebajikan mereka. Di sinilah kita perlu memperkasa peranan komuniti dalam menjaga kebajikan ahli di kawasan kejiranan terutama di musim PKP. Sikap saling menolong dan membantu keluarga yang memerlukan dalam tempoh PKP harus sama-sama dititikberatkan. Betapa penting peranan kita sebagai jiran untuk bertanya khabar jiran tetangga yang dalam kesusahan atau yang sedang memerlukan bantuan.

Peranan pihak berwajib

Pihak berwajib harus turut sama menghulurkan bantuan kepada keluarga yang terkesan
terhadap pandemik dan lanjutan PKP. Keluarga yang terjejas dengan pandemik perlu
diperkasa dan diberikan sokongan bagi memulakan kehidupan baharu dan meneruskan
kelangsungan hidup. Bantuan kewangan dan sosial sangat diperlukan bagi golongan ini.
Pelbagai kementerian perlu memainkan peranan terhadap ‘keluarga sandwic’ ini agar
mereka sentiasa dalam keadaan sejahtera dan tenang. Kesejahteraan keluarga bergantung kepada kesejahteraan mental dan emosi mereka.

Kesihatan mental, kestabilan emosi serta perhubungan sosial yang positif adalah amat
penting untuk menjalani kehidupan yang benar-benar sihat. Talian sokongan psikososial yang telah wujud perlu diperkasa dan dihebah dengan lebih meluas agar golongan ini mengetahui saluran yang perlu untuk mendapatkan bantuan jika mengalami masalah kesihatan mental dan emosi.

Penyesuaian diri hadapi cabaran, urus tekanan

Golongan ini perlu memiliki daya tahan yang tinggi dalam menghadapi cabaran pandemik.
Mereka memiliki tanggungjawab yang lebih besar berbanding keluarga yang lain kerana
perlu menjaga dua generasi secara serentak. Keadaan pandemik ini mengubah kehidupan peribadi mahupun sosial. Sokongan dan dorongan pelbagai pihak perlu terus diberikan sama ada daripada kalangan suami dan keluarga khususnya, dan pihak berwajib amnya.

Setiap individu mempunyai pasang surut emosi dan perlu cara beradaptasi menghadapi
keadaan ini. Antara perkara yang boleh dilakukan adalah dengan cara:

1. Pengurusan masa: Merancang jadual yang membolehkan anda menyiapkan tugas harian tanpa perasaan tertekan. Senarai dan jadualkan tugas mengikut keutamaan.

2. Hubungan sosial: Sering berhubung melalui telefon mahupun Whatsapp dengan rakan-
rakan, ahli keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga agar tidak berasa kesunyian.
Interaksi sesama sendiri mampu membantu emosi dan membina mental yang sihat.

3. Bertenang: Melakukan aktiviti disukai yang boleh memberikan ketenangan seperti
bersenam, berjalan kaki, berkebun, penglibatan dalam aktiviti keagamaan dan sebagainya agar dapat mengurangkan tekanan.

4. Memohon bantuan: Jangan rasa bersalah untuk memohon bantuan daripada suami dan
anak-anak juga keluarga terdekat jika memerlukan. Wanita juga perlu melatih suami dan
anak-anak untuk ringan tulang membantu tanpa perlu disuruh.

5. Penjagaan kesihatan fizikal: Setiap individu perlu mendapatkan tidur yang cukup, makan makanan yang berkhasiat dan melakukan senaman ringkas setiap hari untuk berasa lebih tenang.

6. Beribadat: Mendekatkan diri kepada Allah dengan beristighfar, membaca al-Quran, solat mampu memberi ketenangan dan mengurangkan tekanan.

Dalam situasi kini, kita sama-sama perlu berperanan dan terus memanjatkan doa dan
berharap agar Pandemik Covid 19 ini segera berakhir dan kita boleh bersosial dan beraktiviti seperti sedia kala. Setiap yang diberi ujian perlu terus positif dan meletakkan cabaran dan dugaan ini sebagai satu motivasi untuk meningkatkan diri dan keluarga ke arah yang lebih baik. Tidak ada yang diberikan ujian melainkan sesuai dengan kemampuan seseorang. “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya…” (al-Baqarah: 286)

Farrah Idayu Abdul Mutalib
Jawatankuasa Pembangunan dan Pembelaan Wanita & Keluarga
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Negeri Selangor

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast