Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim semasa mengetuai operasi di Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini.

BAYAN LEPAS – Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Jabatan Keselamatan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah mengeluarkan sebanyak 159 kompaun berjumlah RM1.49 juta kepada majikan di seluruh negara membabitkan kesalahan di tempat kerja.

Kompaun itu dikeluarkan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 iaitu sejak 16 Jun lalu sehingga semalam. 

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, kompaun itu dikeluarkan menerusi operasi penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) yang dijalankan JKKP dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan.

Awang Hashim.

Jelas beliau, sebanyak 1,585 penguatkuasaan tempat kerja di lakukan seluruh negara dan hasil penguatkuasaan tersebut sebanyak 159 kompaun berjumlah RM 1.49 juta telah dikeluarkan.

Mengikut pecahan kompaun paling tinggi dikeluarkan di Selangor iaitu sebanyak 42 kompaun dan diikuti dengan Kedah (19), Perak (17), Kuala Lumpur (14) dan Negeri Sembilan (12).

“Dalam tempoh sama bagi Pulau Pinang pula, sebanyak 129 pemeriksaan dilakukan dan empat kompaun bernilai RM40,000 dikeluarkan.

“Antara pendekatan yang diambil dalam menguatkuasakan Akta 342 ini adalah menerusi siasatan aduan yang diterima daripada aplikasi Working for Workers (WFW) serta menerusi operasi terancang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan Operasi Pemantauan Pematuhan Akta 342 dan Akta 514 di sebuah kilang pembuatan mesin di kawasan Perindustrian Bayan Lepas  hari ini.

Awang (kiri) mendengar penerangan daripada pihak pengurusan ketika melakukan operasi Akta 342 dan 514 di sebuah kilang di Bayan Lepas di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Awang berkata, kompaun ke atas majikan di sektor perkilangan paling tinggi dikeluarkan JKKP iaitu sebanyak 123 kes kemudian diikuti dengan sektor pembinaan (18) serta perkhidmatan perniagaan (4).

Kesalahan paling tinggi dikesan adalah majikan gagal memastikan kapasiti kehadiran pekerja dalam sektor perhidmatan perlu iaitu sebanyak 96 kes dan diikuti dengan pemilik premis gagal memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter ke atas semua pengunjung dan pekerja pada sesuatu masa sebanyak 13 kes serta premis beroperasi tanpa kebenaran MITI sebanyak sembilan kes.

“Sehubungan itu, kita ingin menegaskan supaya semua pihak termasuk majikan, pekerja mahupun orang awam untuk kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP terkini yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Pegawai kesihatan memeriksa aplikasi MySejahtera pekerja di sebuah kilang di Bayan Lepas hari ini.

“Majikan juga disarankan melaksanakan kaedah bekerja dari rumah mengikut ketetapan kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette