Pihak bomba melakukan operasi mencari susulan seorang nelayan dikhuatiri lemas di Sungai Bakau Tua, Kuala Muda di sini hari ini.

PENAGA – Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada bot akibat bertembung dengan sebuah bot lain di Sungai Bakau Tua, Kuala Muda di sini hari ini.

Kejadian dilaporkan berlaku pukul 12.30 tengah malam itu menyebabkan Muhammad Azim Zahari,19, terjatuh dan gagal ditemui sehingga kini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil siasatan awal mendapati bot pertama membawa seorang tekong dan empat awak-awak manakala bot kedua pula seorang tekong serta tiga awak-awak.

Noorzainy.

Jelas beliau, akibat pertembungan itu masing-masing daripada dua bot berkenaan terjatuh ke dalam laut.

“Seorang awak-awak berjaya ditemui namun seorang lagi masih hilang. Siasatan juga mendapati pelanggaran berlaku susulan bot kedua itu tidak mempunyai lampu selain datang dari arah bertentangan,” katanya ketika MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Noorzainy, usaha mencari dan menyelamatkannya sedang giat dilakukan dengan kerjasama pihak bomba. – MalaysiaGazette