Ahli Lembaga Eksekutif Kebangsaaan Persatuan Bulan Sabit Merah memberi vaksin kepada warga OKU (Orang Kurang Upaya) pada Program Vaksinasi Mobile ketika tinjauan Malaysia Gatezze di Ampang, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI, 06 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Mana-mana individu yang terlantar di rumah dan golongan orang kelainan upaya (OKU) yang tiada kemampuan untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan menerima vaksin di kediaman masing-masing sepanjang Julai ini.

Ahli Lembaga Eksekutif Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM), Suhana Sidik berkata, kedua-dua golongan itu akan menerima vaksin melalui klinik bergerak milik persatuan itu.

“Ini merupakan inisiatif pertama badan kemanusiaan dengan kerjasama Hab Penyelaras dan Tindakan Kemanusiaan Malaysia (MATCH) bersama Jabatan Kemajuan Kesihatan Keluarga dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“PBSMM bersama Yayasan Hasanah mewujudkan platform UNTUK menghubungkan antara penderma, organisasi masyarakat awam dan agensi kerajaan berkaitan untuk mempertingkatkan koordinasi dan keberkesanan dalam menangani isu Covid-19.

“Inisiatif Klinik Bergerak ini adalah selari dengan sasaran PBSMM untuk memberikan penjagaan dan kesihatan kepada mereka yang memerlukan dan komuniti yang terancam,” katanya kepada MalaysiaGazette, di Taman Saga, Ampang hari ini.

Ahli Lembaga Eksekutif Kebangsaaan Persatuan Bulan Sabit Merah, Suhana Sidek ketika ditemuramah oleh wartawan mengenai Program Vaksinasi Mobile ketika tinjauan Malaysia Gatezze di Ampang, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI, 06 JULAI 2021

Menurut Suhana, inisiatif klinik yang mula digerakkan hari ini menyasarkan sehingga 2,800 penerima vaksin bagi dua golongan itu bagi Selangor dan Kuala Lumpur.

Katanya, untuk permulaan, pihaknya akan turun rumah ke rumah bermula dari Parlimen Hulu Langat dengan 280 penerima.

“Fokus pertama adalah di Hulu Langat di mana kira-kira 280 rumah telah dikenal pasti. Hari ini kami ke enam rumah, dalam 20 penerima kita vaksin dan kami akan teruskan lagi sampai kesemua 280 penerima di Hulu Langat.

“Seterusnya berjaya mencapai sasaran 2,800 penerima itu di Selangor dan Kuala Lumpur menjelang akhir bulan ini,” jelasnya.

Selain itu, kesemua ahli keluarga kepada dua golongan itu juga diberikan vaksin serta-merta bagi memastikan mereka bebas jangkitan Covid-19.

“Kalau kita nak memberi keselamatan kepada individu yang terlantar itu, keseluruhan rumah perlu divaksinkan,” katanya.

Ditanya tentang tempoh proses vaksinasi dua golongan itu di Selangor dan Kuala Lumpur, Suhana menyasarkan ia dapat diselesaikan sebelum hujung bulan ini.

“Kalau Hulu Langat sasarannya kami nak siapkan dos pertama pada minggu ini habis semua dan seluruh Selangor. Insya-Allah kita akan selesaikan semua penerima di Selangor dalam Julai ini dan kita akan buat dos kedua selepas itu.

“Benar sekali ia seiring dengan sasaran kerajaan vaksin pada bulan ini,” katanya.

Bagi mencapai sasaran itu, setiap hari pihaknya akan turun ke lima hingga 10 buah rumah dan memastikan antara 20 hingga 40 ahli keluarga divaksinkan.

“Dalam Bulan Sabit Merah, kami ada empat kumpulan yang akan turun padang setiap hari, satu hari lima hingga ke 10 rumah yang kita akan buat.

“Apa yang kami cuba sekarang ini di mana program ini juga akan dilancarkan ke seluruh Malaysia.

“Jadi pasukan-pasukan di negeri lain juga sedang berkumpul sekarang ini dan kami akan buat serentak Insya-Allah dalam masa beberapa minggu lagi,” katanya.

Pihaknya juga memberi jaminan akan turun ke rumah-rumah penerima bagi dua golongan itu meskipun dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Oleh kerana kami mempunyai kerjasama rapat dengan KKM, memang kami diberi kebenaran untuk masuk ke kawasan PKPD untuk beri vaksin OKU dan orang terlantar,” katanya.

Selain kawasan bandar, pihaknya turut menyantuni masyarakat orang asli dab penduduk di luar bandar untuk memastikan mereka tidak terkecuali mendapat perlindungan kesihatan itu.

“Antara sasaran kolobrasi ini juga adalah melihat kepada Orang Asli, mereka yang berada di kawasan terpencil dan sasaran vulnerable. Vaksin ini bukan setakat kawasan bandar sahaja, kami turun ke luar bandar juga di mana sahaja di seluruh Malaysia.

“Kami ingin beri penekanan, kita ada vaksin yang cukup dan kami akan pastikan semua orang mendapat vaksin. Kalau tak dapat ke PPV, kami akan datang kepada anda bagi memastikan semua orang mendapat vaksin,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast