Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berpuas hati dengan keputusan untuk mengadakan persidangan Parlimen selama lima hari bermula 26 Julai ini.

Beliau mendakwa, ia merupakan satu penipuan kerana memendekkan tempoh persidangan.

Menerusi pengumuman baru-baru ini, katanya, tidak ada gambaran persidangan akan disertakan dengan perbahasan yang terbuka seperti kelaziman.

“Sidang Parlimen selalunya untuk memastikan kerajaan itu ditadbir menurut peraturan, tata kelola, tadbir urus yang baik supaya jangan ada penyalahgunaan kuasa dan ada dikatakan semak dan imbang.

“Tetapi apa yang cuba dilakukan saya rasa satu bentuk penipuan kerana memendekkan sidang, menyegerakan kelulusan, beberapa undang-undang ordinan termasuk Ordinan Darurat dan tidak ada petunjuk bahawa akan ada perbahasan terbuka,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.

Dalam masa yang sama, Anwar menganggap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan peraturan sewenang-wenangnya tanpa mengikut prinsip demokrasi berparlimen.

Beliau turut berpendirian Speaker Dewan Rakyat diperalatkan.

Presiden PKR berkata, Dewan Rakyat sepatutnya menjadi medan untuk berbahas, menjaga perlembagaan negara dan menyuarakan aspirasi rakyat berkenaa pelbagai perkara.

“Saya ingin memberi peringatan kepada Perdana Menteri dan kerajaan, dalam keadaan kamu yang terumbang-ambing ini jangan peralatkan Speaker Dewan Rakyat yang juga harus diberi peringatan bahawa kita tidak akan pandang ringan.

“Soal Covid-19, kebajikan rakyat, peruntukan kepada rakyat, soal salah guna kuasa ini bukan soal yang ringan. Jangan cuba mengguna peraturan, cara sesuka hati tanpa menekankan prinsip asas demokrasi berparlimen iaitu menggunakan Parlimen sebagai medan berbahas, menjaga perlembagaan negara, menyuarakan aspirasi rakyat dan menentukan pemerintahan itu absah dan menjalankan tugas dan kuasa mengikut undang-undang dan tidak mencemarkan undang-undang dan menyalahgunakan kuasa dengan rasuah dan segala kebobbrokan yang kita lihat sekarang,” tambahnya.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju menasihati Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai ini.

Manakala bagi Dewan Negara pula, persidangan akan diadakan selama tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos ini.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, nota Jemaah Menteri telah diedar secara berutusan kepada Jemaah Menteri untuk mengambil maklum perkara itu.

Mesyuarat itu diadakan bagi meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan sidang Parlimen secara hibrid.

Ia juga adalah untuk memberi penerangan kepada ahli-ahli Parlimen berhubung Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dibentangkan Perdana Menteri baru-baru ini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast