IMBAS KEMBALI. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin membuat lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dalam sektor pengakutan udara di Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto SYAFIQ AMBAK, 06 JULAI 2021.

SEPANG – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah meluluskan sebanyak 22,253 dos vaksin Covid-19 kepada petugas barisan hadapan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setakat ini.

Menterinya, Khairy Jamuluddin Abu Bakar berkata, bagaimanapun jumlah vaksin itu hanya untuk 43 peratus kakitangan dalam industri penerbangan melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV) KLIA yang mula beroperasi, semalam.

“Sebanyak 1,000 dos vaksin Covid-19 diperuntukkan setiap hari di PPV KLIA yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 6 petang,” katanya pada sidang media di PPV KLIA, hari ini.

Terdahulu Khairy membuat tinjauan bagi melihat sendiri pengoperasian PPV KLIA yang bermula sejak semalam.

Dalam perkembangan sama, Khairy berkata, beliau sedang mempertimbangkan untuk membuka lebih banyak PPV di lapangan-lapangan terbang di seluruh negara.

“Saya juga akan memberi perhatian kepada sektor udara di lapangan-lapangan terbang di negeri-negeri lain supaya pekerja mereka juga turut dilindungi dengan vaksin Covid-19,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, pihaknya melalui Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) telah meluluskan sebanyak 27 PPV Industri pada awal Julai ini.

“Kita telah menerima cadangan pembukaan tambahan PPV Industri daripada beberapa kementerian lain.

“Antara kementerian ialah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Kerja Raya, dan Kementerian Pengangkutan,” katanya.

Dalam pada itu, jelas Khairy, dua kementerian lain bersedia melibatkan beberapa industri dalam PICK.

“Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi mahu program vaksin diberikan kepada sektor perladangan dan komoditi

“Manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pula bagi sektor peruncitan.

“Kita akan buat keputusan dalam masa terdekat untuk sektor-sektor ini dan berapa jumlah yang kita akan agihkan kepada sektor-sektor berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast