Foto hiasan

KUALA PERLIS – Kedai gunting rambut terus menjadi tumpuan penduduk di Perlis sebaik negeri itu beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula semalam, yang membolehkan sektor perdagangan dan pengedaran tertentu beroperasi termasuk kedai gunting rambut.

Pelanggan dilihat menyerbu kedai gunting rambut sejak semalam dan hari ini, serta sanggup beratur panjang menunggu giliran di luar kedai berkenaan sebaik dibuka pada 10 pagi.

Situasi itu nyata melegakan peniaga setelah mereka seumpama kehilangan ‘nyawa’ apabila terputus sumber pendapatan sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang tidak membenarkan kedai gunting beroperasi.

Seorang pekerja kedai gunting rambut, Muhamad Ilyas Ishak, 50, berkata beliau tidak menang tangan menguruskan lebih 20 pelanggan yang berbaris menunggu giliran sejak kedai mula dibuka semalam.

“Alhamdulillah, saya mampu menjana semula pendapatan setelah hilang mata pencarian kerana saya menumpukan sepenuhnya kepada kerja menggunting,” katanya kepada Bernama di sini.

Seorang lagi pekerja gunting rambut, Norman Hussein, 45, berkata beliau telah menjangkakan ramai pelanggan akan datang ke kedainya bermula semalam kerana menyedari kesulitan orang ramai memotong rambut sendiri di rumah ekoran tiada kemahiran atau tidak mempunyai peralatan yang lengkap.

“Kebanyakan pelanggan saya terdiri daripada golongan remaja, lega sangat apabila perniagaan kedai gunting rambut dibenarkan beroperasi semula, bolehlah kami kembali mencari rezeki,” kata bapa kepada empat orang anak itu.

Bukan sahaja melegakan peniaga, seorang bapa, Nadzri Fadzil, 40, turut menzahirkan perasaan gembira dengan pengoperasian kedai gunting rambut yang membolehkan anak perempuannya, Nurfazila, 15, yang kurang upaya kerana mempunyai masalah pertuturan, dapat berambut pendek semula.

“Dia (Nurfazila) memiliki rambut yang tebal dan cepat panjang, dia tidak pernah berambut panjang dan apabila rambut melepasi paras telinga dan leher, dia sering memberontak kerana berasa panas, rimas dan janggal.

“Dah lebih dua bulan tak potong rambut… Nurfazila juga tidak membenarkan saya memotong rambutnya di rumah kerana dia mahu ke kedai gunting rambut,” kata bapa tunggal itu sambil menambah, Nurfazila sangat gembira dibawa membonceng motosikal untuk ke kedai gunting rambut.

Seorang lagi pelanggan, Zulkafli Mahamah, 73, berkata sejak pelaksanaan sekatan pergerakan penuh Mei lepas, rambutnya terpaksa dibiarkan panjang menyebabkan dia berasa rimas.

“Alhamdulillah, akhirnya dapat gunting rambut, cukur misai dan janggut, saya kembali selesa dan tidak lagi rimas,” kata Zulkafli yang biasanya menggunting rambut dua minggu sekali.

— BERNAMA


IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast