KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin optimis Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Malaysia (PICK) berada pada landasan tepat selepas berjaya melepasi 300,000 dos semalam.
Negara merekodkan sejumlah 313,761 vaksinasi sehari dengan sejumlah 6.585 juta sudah menerima dos pertama dan hampir 2.735 juta untuk dua dos suntikan vaksin.
“Saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba bersama seluruh petugas barisan hadapan, sukarelawan serta rakyat Malaysia yang bersama-sama menjayakan program vaksinasi terbesar di negara ini,” katanya dalam satu ucapan ringkas di sini.
Muhyiddin ketika mengumumkan mengumumkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 15 Jun lalu telah mensasarkan peningkatan kadar vaksinasi kepada lebih 300,000 dos sehari selepas bulan Jun.
Malah, dalam fokus ketiga Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), perdana menteri berkata, kerajaan akan mempercepatkan proses vaksinasi kepada seramai yang mungkin penduduk negara ini.
“Ini bagi memastikan negara kita berjaya mencapai imuniti kelompok dan seterusnya membawa kita kembali menjalani kehidupan menghampiri kehidupan sebelum pandemik Covid-19,” kata beliau.
Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba menerusi ciapannya berkata, jumlah vaksinasi yang direkodkan sebanyak 313,761 adalah tertinggi dalam sehari sepanjang PICK berlangsung.
”Terima kasih kepada semua vaksinator, petugas kesihatan, general practitioner dan sukarelawan yang bertugas di semua PPV seluruh negara,” ujarnya.
Tambah beliau, jumlah vaksinasi semalam adalah satu momentum yang baik ke arah pencapaian kelompok imuniti.
Jumlah pemberian vaksin Covid-19 setakat 5 Julai 2021 ialah 9,320,476 dos.
”Jumlah yang terima dos pertama ialah 6,585,002 orang. Daripada jumlah itu, 2,735,474 orang juga terima dos kedua,” kata beliau. – MalaysiaGazette