MIT

KUALA LUMPUR – Hanya syarikat-syarikat disenarai sebagai sektor perkhidmatan perlu di dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi lokasi Fasa 1 dan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) boleh beroperasi menggunakan surat baharu COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0.

Surat CIMS 3.0 yang baharu ini akan mempunyai akronim ‘PPN’ di bawah kod QR surat tersebut.

Sebagaimana pengumuman Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 1 Julai 2021, pergerakan syarikat dalam sektor perkhidmatan perlu bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) boleh menggunakan surat CIMS 3.0 sedia ada (dengan akronim PKP 3.0 di bawah kod QR).

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, semua surat kelulusan CIMS 3.0 perlu dibaca bersama-sama SOP PKPD semasa yang berkuat kuasa.

Syarikat di kawasan PKPD yang bukan di bawah senarai sektor perkhidmatan perlu di dalam SOP MKN adalah tidak dibenarkan beroperasi sama sekali.

MITI mengingatkan pihak industri agar bertanggungjawab dalam pemberdayaan kendiri dan mematuhi SOP ini.

Ketidakpatuhan adalah satu kesalahan undang-undang menikut Akta 342 dan boleh dikenakan tindakan oleh Pasukan Petugas Khas Covid-19.

Menurutnya, platform CIMS 3.0 dikongsi dengan 17 Kementerian dan 3 Agensi dan setiap permohonan akan diproses dan diluluskan setiap Kementerian dan Agensi mengikut portfolio masing-masing.

Untuk maklumat lanjut tentang status permohonan, syarikat boleh merujuk terus kepada kementerian atau agensi yang memproses permohonan mereka mengikut maklumat di dalam direktori di laman web www.miti.gov.my. – MalaysiaGazette