Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) membenarkan solat Jumaat dan solat sunat Aidiladha bagi semua masjid di negeri itu dengan kehadiran seramai 50 orang sahaja.- Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) membenarkan solat Jumaat dan solat sunat Aidiladha bagi semua masjid di negeri itu dengan kehadiran seramai 50 orang jemaah sahaja.

Jemaah itu termasuk imam, bilal, noja, ahli jawatankuasa (AJK) pengurusan kariah masjid dan surau serta ahli kariah yang digilirkan.

Bagi solat fardu lima waktu di masjid dan surau bermula esok, hanya 20 jemaah dibenarkan melibatkan kuota AJK masjid dan ahli kariah yang dipilih.

Kebenaran itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai ketua agama Islam negeri seperti peruntukan Fasal 57(A) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 dan Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

Perkara itu disahkan dalam satu kenyataan media Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi, Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah JAINJ, Datuk Md Rofiki Samsudin hari ini.

Bagi surau Jumaat dan surau Jumaat sementara, bilangan jemaah dibenarkan seramai 20 orang membabitkan imam, bilal, noja, AJK pengurusan kariah masjid dan surau serta ahli kariah digilirkan di kawasan itu.

“AJK pengurusan kariah masjid dan surau serta jemaah yang hadir ke masjid atau surau perlu lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 kecuali imam, bilal dan noja yang bertugas,” kata kenyataan yang sama.

Syarat dua dos lengkap suntikan vaksin perlu dipenuhi AJK masjid dan surau serta jemaah yang hadir.

“Mana-mana jemaah lelaki yang mukallaf dan tidak mendapat giliran hadir solat Jumaat di masjid serta surau Jumaat perlu menunaikan solat Zohor di rumah.

“Mereka juga tidak dibenarkan berada di tempat awam seperti pusat beli-belah atau pusat rekreasi ketika waktu solat Jumaat kerana akan menimbulkan fitnah kepada agama Islam.

“JAINJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) perlu membuat pemantauan prosedur operasi standard (SOP) masjid serta surau. Jika ada yang melanggar SOP, pusat ibadah itu perlu ditutup,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, solat jenazah bukan kes Covid-19 di masjid dan surau dibenarkan dengan bilangan jemaah tidak melebihi 20 orang.

Katanya, aktiviti ziarah tanah perkuburan Islam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibenarkan dengan mematuhi SOP.

“Kehadiran ketika pengebumian jenazah dibenarkan dengan kehadiran tidak melebihi 50 orang tidak termasuk petugas tanah perkuburan dengan syarat bukan jenazah pesakit Covid-19,” katanya.-MalaysiaGazette