Model Beetle Volkswagen

KUALA LUMPUR – Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) memperkenalkan beberapa tawaran selepas jualan di bawah inisiatif Volkswagen Cares dalam usaha meringankan beban para pemilik kereta sepanjang tempoh yang sukar ini.

Sebagai sebuah jenama yang sentiasa mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelanggan, pelan-pelan kos efektif ini dapat membantu pemilik kenderaan Volkswagen untuk memastikan kos pemilikan kekal mampu milik.

Pada masa yang sama meningkatkan pengalaman pemilikan mereka.

Dalam kenyataannya, VPCM berkata, pemilik kenderaan kini boleh memilih untuk membayar bil secara ansuran sama ada enam atau 12 bulan dengan kadar faedah 0% apabila menggunakan kad kredit.

Tawaran ini sah untuk semua bentuk kerja pembaikan dan servis yang ditawarkan di pusat servis terpilih Volkswagen.

Para pemilik dinasihatkan untuk merujuk syarat dan terma spesifik mengenai pelan pembayaran ini dengan pengedar kereta mereka.

Pemilik kenderaan juga ditawarkan diskaun Servis 20% untuk Ahli VCP (Volkswagen Care Plus).

Mereka layak untuk mendapat tiga baucar rebat 20% untuk servis penyelenggaraan dan ia boleh digunakan bermula tahun kelima servis dan diikuti oleh dua servis lagi dalam tempoh tiga tahun.

Selain itu, ahli VCP juga akan menerima bantuan tepi jalan secara percuma untuk dua tahun (tertakluk kepada terma dan syarat).

Pemilik juga ditawarkan diskaun 30% untuk Pakej Pembaikan Volkswagen terpilih apabila membaiki kereta di pusat servis sah Volkswagen namun ia tertakluk kepada model-model Volkswagen yang berusia lebih dari lima tahun.

Selain itu, ia turut menawarkan Pelan Insurans Volkswagen (Volkswagen Insurance Plan) – tiada kos pembaikan untuk kereta sehingga 10 tahun, para pemegang polisi akan menerima perlindungan komprehensif dan pelbagai perkhidmatan nilai tambah tanpa perlu membayar sebarang kos berlebihan.

Selain itu, terdapat jumlah yang dipersetujui dan nilai yang diinsuranskan untuk kenderaan sehingga 10 tahun sekiranya berlaku kerugian total.

Antara kelebihan VIP termasuklah diberi keutamaan dalam kelulusan tuntutan, kelulusan penggantian cermin depan dalam masa dua jam, bantuan tepi jalan dengan perkhidmatan menunda kecemasan 24 jam, serta jaminan setiap kerja pembaikan dijalankan di pusat badan dan cat Volkswagen yang sah.

Ia mematuhi standard pembaikan Volkswagen dan hanya menggunakan alat ganti tulen. – MalaysiaGazette