Gambar hiasan

SEHINGGA kini, telah lebih sebulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 atau total
lockdown dijalankan. Ada orang yang rutin harian kerjanya berubah kerana PKP 3.0
ini, ada juga yang kekal sama. Seperti saya sendiri sebagai penghantar makanan Grab, pada hari-hari yang saya rasa cukup bertenaga, selalunya saya akan bersiap seawal lapan pagi untuk keluar bekerja. Paling-paling lewat pun jika saya keluar pagi hari, saya akan keluar pada jam sembilan atau 10 pagi.

Setiap pagi, saya akan menunggang motosikal saya dengan beg Grab di belakang
dari rumah saya di Bandar Tun Hussein Onn ke Kampung Pandan untuk mendapatkan dan menghantar pesanan yang masuk. Pernah juga saya buka aplikasi Grab Driver saya di kawasan tempat saya tinggal sendiri, namun jumlah pesanan yang diperoleh bagi saya kurang memuaskan. Maka saya membuat keputusan untuk kekal bekerja, atau bak kata rider, ‘mencedok’ pesanan di kawasan Ampang, Cheras dan kadangkala di bandar raya Kuala Lumpur.

Sungguhpun saya fikir agak jauh sedikit untuk saya ‘mengembara’ dari Bandar Tun
Hussein Onn ke Cheras, Kuala Lumpur, namun alhamdulillah, buat masa ini pendapatan saya malah melebihi modal dan cukup untuk makan. Walaupun saya sudah berasa agak jauh untuk pergi dan balik setiap hari untuk mengejar pesanan, namun pengalaman saya bertemu dengan beberapa penghantar makanan lain menunjukkan bahawa pengalaman saya bukanlah suatu yang unik pada saya sahaja, malah merupakan suatu norma untuk penghantar makanan untuk memulakan kerja jauh dari rumah sendiri.

Sungguhpun ramai yang menganggap pekerjaan gig seperti pekerja P-hailing Grab
dan Foodpanda menawarkan fleksibiliti dan pendapatan yang menggiurkan, pandemik Covid-19 mencabar tarikan-tarikan ini untuk ia menjadi nyata. Syarikat Grab contohnya yang menawarkan penunggangnya dengan kebolehan untuk berada dalam talian bila-bila masa sahaja dan di mana-mana sahaja tanpa tertakluk pada syif, masih juga tidak mampu menjamin penghantar Grab untuk mendapat pesanan dengan fleksibiliti yang dinyatakan.

Selain daripada saya sendiri yang lazimnya lebih selesa untuk bergerak lebih dekat
dengan Kuala Lumpur untuk mencari pesanan, saya juga pernah bertemu dengan
penghantar Grab lain yang tinggal di Kajang, namun lazimnya mencari pesanan di
kawasan Bangsar. Bukan sekadar itu, malah saya juga pernah berjumpa penghantar Grab yang tinggal di Ulu Yam yang lazimnya akan memulakan pencarian pesanannya di kawasan Mont Kiara.

Jika Grab yang boleh dikatakan hampir 100 peratus fleksibel itu pun tidak mampu
menjamin fleksibiliti itu teraplikasi dalam dunia nyata untuk penghantar makanannya,
cerita tentang Foodpanda malah lebih memilukan. Setiap minggu, penghantar makanan Foodpanda perlu merebut syif kerja yang amatlah terhad. Syif yang ada adalah berdasarkan jam bekerja dan kawasan untuk bekerja.

PKP 3.0 ini dilihat lebih memilukan untuk penghantar makanan Foodpanda kerana
ramai antara mereka yang mengadu syif telah pun habis dan mereka tidak boleh
bekerja. Jika boleh pun, syif amatlah sedikit dan boleh jadi di kawasan yang mungkin jauh daripada rumah atau kawasan yang tidak dilazimi penghantar untuk bekerja.
Saya pernah juga berjumpa dengan seorang penghantar makanan Foodpanda di
MyTown Shopping Centre, Cheras dan sempat berbual pendek mengenai kerja
hariannya.

Hampir terkejut juga saya apabila saya ketahui bahawa walaupun dia mengambil syif
untuk bekerja di kawasan Cheras, Kuala Lumpur, namun sebenarnya dia tinggal nun
jauh di Dusun Tua, Hulu Langat. Tambahan lagi, dia juga merupakan penghantar bertaraf Batch 1, iaitu tahap tertinggi untuk penghantar Foodpanda. Kelebihan utama penghantar Batch 1 Foodpanda yang utama selain pendapatan yang lebih besar ialah jaminan untuk mendapatkan syif bekerja kerana mereka akan diberi keutamaan untuk memilih syif berbanding Batch 2 hingga 6 yang akan diberi peluang lebih lambat untuk memilih syif yang terhad.

Malah, jika berjaya mendapat syif sekali pun, tidak semestinya mereka akan dijamin
pendapatan lumayan sepanjang syif mereka. Jika dahulu, penghantar makanan Foodpanda akan dibayar elaun mereka mengikut jam bekerja dan komisen untuk setiap pesanan. Kemudian pengurusan Foodpanda beransur-ansur menukar sistem elaun mereka
sehingga akhirnya semua penghantar Foodpanda hanya dibayar elaun mereka berdasarkan komisen untuk setiap pesanan sahaja; tiada lagi gaji per jam untuk
mereka.

Maka pendapatan penghantar makanan seperti Foodpanda yang hanya bergantung
kepada pesanan yang ada semata-mata semakin tidak terjamin. Tambahan pula, semasa PKP makin diperketat iaitu pada awal-awal PKP 2.0 dan PKP 3.0, lazimnya jumlah pesanan harian yang boleh dilengkapkan oleh penghantar p-hailing gig ini makin merosot. Masalah ini tidak terhad kepada penghantar Foodpada sahaja. Baru-baru ini, saya sempat menemu bual salah seorang penghantar Grab dari Setapak, Kuala Lumpur untuk memperoleh maklumat mengenai pengalamannya bekerja sebagai penghantar
pada PKP 3.0.

Sebelum pengumuman PKP 3.0, Shahrul, 30, merupakan seorang pekerja di kedai
jualan barangan elektrik dan hanya menjalankan kerja menghantar Grab sebagai
pekerjaan sampingan sahaja. Namun setelah PKP 3.0 diumumkan, situasi ini memaksanya untuk bekerja sebagai penghantar Grab sepenuh masa. Walaupun masih boleh bekerja sebagai penghantar Grab sebagai alternatif, beliau mengakui agak sukar untuk mencapai sasaran pendapatan yang diinginkan melalui platform p-hailing tersebut berbanding sebelum PKP 3.0.

Beliau berkata bahawa lazimnya jika beliau bermula dari pagi lagi, sasaran pendapatan hariannya boleh dicapai sebelum petang lagi. Namun selepas PKP 3.0, adakalanya sasaran pendapatan yang biasa disetkan belum tentu lagi dapat dicapai walaupun sudah malam.
Malah berdasarkan tinjauan kasar dalam kumpulan media sosial penghantar makanan, didapati juga ramai penghantar yang sangat sukar mendapat pesanan. Ada yang mengatakan untuk mendapat enam ke tujuh pesanan juga sudah susah walaupun telah bekerja hampir lapan jam.

Kesimpulannya, jaminan pendapatan penghantar makanan p-hailing sentiasa terumbang-ambing kerana sistem pendapatan yang semata-mata mengikut pesanan walaupun jam bekerja juga sama lama, jika tidak lebih lama daripada pekerjaan bidang lain.
PKP yang tidak berkesudahan ini juga menyukarkan lagi jaminan pendapatan untuk
pekerja gig ini memandangkan permintaan pesanan makin lama makin berkurangan
apabila PKP diperketat. Sebelum ini, ada cadangan daripada seorang ahli politik agar bantuan tunai berterusan sejumlah RM1,500 diberikan kepada semua golongan B60 setiap bulan sepanjang PKP berjalan.

Hal ini bukan sahaja membantu semua pekerja gig yang kehilangan kerja kerana
kekurangan permintaan mendadak, malah bantuan yang berterusan seperti ini juga
secara tidak langsung dapat meningkatkan permintaan untuk pesanan. Lazimnya, golongan berpendapatan yang lebih rendah akan lebih cenderung menggunakan tunai yang mereka ada untuk kegunaan harian berbanding untuk sekadar menyimpannya. Penggunaan tunai seperti ini secara amnya sudah tentu mampu menggerakkan lagi ekonomi pada skala besar.

Pada skala kecil untuk penghantar makanan, hal ini juga bermakna lebih ramai yang
akan mampu menggunakan perkhidmatan pesanan makanan dan penghantaran
barangan. Hal ini terbukti ketika pengeluaran i-Sinar (walaupun memang merupakan duit rakyat sendiri) dibenarkan pada tahun lepas, pesanan makanan juga mendapat faedahnya apabila rata-rata penghantar makanan berpendapat bahawa terdapat peningkatan permintaan untuk pesanan makanan dan penghantaran barangan.
Namun cadangan hanya tinggal cadangan.

Selagi mana Parlimen tidak mampu lagi bersidang agar cadangan tersebut dapat diusul dan diperdebatkan atau cadangan tersebut diambil kira kerajaan, akhirnya kita tetap tersangkut dengan bantuan one-off dalam PEMULIH yang amat terhad. Dengan bantuan yang amat terhad dan tidak berterusan, ekonomi dilihat akan terbantut sebegitu rupa yang juga akan membantutkan permintaan pesanan, akhirnya juga tidak menjamin pendapatan pekerjaan gig seperti penghantar makanan p-hailing.

Wan Salman Wan Sallam ialah rakan penghantar Grab sekitar Ampang, Cheras dan juga aktivis Pertubuhan IKRAM Malaysia kawasan Bandar Tun Razak.