A'zlan Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilihat tergesa-gesa melantik timbalannya dari UMNO dipersoalkan.

Ini kerana pelantikan itu wujudnya ketika desakan membawa UMNO keluar daripada Perikatan Nasional (PN), dakwa Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Petaling Jaya,  A’zlan Abu Bakar.

Beliau menganggap pelantikan dua jawatan penting itu tidak lebih sekadar menghalang wakil rakyat UMNO daripada meletakkan jawatan beramai-ramai sebagai menteri dan timbalan menteri.

“Pelantikan ini bukan berita gembira kepada akar umbi UMNO sebaliknya sekadar helah Muhyiddin untuk menyelamatkan Kabinetnya daripada tumbang jika ahli Parlimen UMNO letak jawatan.

“Keputusan ini jelas membelakangkan keputusan UMNO sebelum ini yang menolak jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dalam satu mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Janda Baik, pada 19 Februari 2021,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Terdahulu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri berkuat kuasa serta-merta.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Ismail Sabri juga kekal memegang jawatan Menteri Pertahanan.

Sementara itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri.

Dalam pada itu, A’zlan tidak melihat pelantikan itu memberi manfaat kepada rakyat yang kini bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbulan-bulan lamanya.

“Tiada keperluan jawatan TPM diisi kerana ia tidak menjanjikan rakyat dapat keluar dari bebanan dan kesusahan hidup akibat pandemik.

“Malah pelantikan ini akan menelan belanja kerajaan untuk urusan TPM,” katanya.

Tindakan terburu-buru itu juga tidak mendapat persetujuan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuktikan Muhyiddin lebih mementingkan survival politiknya semata-mata.

“Tindakan ini membuktikan bahawa kerajaan PN hari ini tidak lagi prihatin rakyat malah lebih mengutamakan percaturan politik yang tidak akan berkesudahan.

“Percayalah bahawa keadaan ini akan terus mengheret rakyat terus tertekan dan derita akibat Covid-19,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. DAH BAGI DAN DAPAT….SALAH……TAK BAGI LANGSUNG LAGI SALAH

    AKU pun DULU ahli dan penyokong Umno….tetapi ramai pemimpin bawahan dan atasan HANYA kejar PROJEK KOMISEN MASUK….cth baru dapat kontrak kecil dan dapat DATU…
    PERGI MAJLIS PAU tahunan dapat CUTI TANPA REKOD
    KETUA CAWANGAN macam YB/MP ….boleh rasmi bagai majlis…tanya FUAD JAKARSHI. sinonim kalau nak kaya dan dapat projrk jadi umno…..borang undi runah MURAH jika bukan ahli umno jangan MIMPI dapat……tidak SEDAR DIRI TEWAS PRU14 KERANA ramai pemimpin ATASAN KAYANGAN terlibat kes rasuah pecah amanah lari cukai sabit mahkamah masiH menjadi PUJAAN HATI

Comments are closed.