Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melihat kerajaan tidak ada idea yang bernas untuk menangani penularan Covid-19 yang semakin tinggi.

Menurut beliau, sudah tiba masanya kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengkaji mengapa semua pelaksanaan yang digerakkan kerajaan yang gagal.

“Semalam lebih 7,000 kes, bukan berkurangan tapi semakin banyak, nampak tindakan kerajaan hari ini gagal. Kerajaan gagal, jadi kita perlu kaji kenapa dan bagaimana kita boleh tangani kegagalan kita.

“Malah kerajaan tidak datang dengan apa-apa idea untuk tangani,” katanya katanya selepas menjadi tetamu temubual eksklusif Reset Malaysia berjudul Permasalahan dan Solusi Hari Ini.

Hadir sama bekas menteri Barisan Nasional (BN), Tan Sri Rafidah Aziz dan pakar penyakit berjangkit negara, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.

Malah Mahathir akan mengusulkan untuk kerajaan menubuhkan satu badan untuk menangani penularan Covid-19 pada sesi sidang Dewan Rakyat yang bakal dibuka 26 Julai depan.

Sebagai Ahli Parlimen Langkawi, beliau terpanggil untuk mengusulkan perkara itu kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat gagal untuk memastikan kes positif Covid-19 turun.

“Saya nak buat usul kerana ia patut dibuat iaitu kita minta supaya kita cadang adakan satu badan yang dianggotai oleh orang tertentu yang akan tangani masalah ini kerana saya dapati kerajaan tidak mampu untuk menangani masalah Covid-19.

“Setiap kali dia (Muhyiddin) buat sesuatu angkat meningkat, PRN Sabah, pelaksanaan darurat, isytihar Pelan Pemulihan Negara kes semakin meningkat. Setiap kali kerajaan PN buat cadangan keadaan menjadi lebih buruk,” katanya.

Pada Jun lalu, Mahathir telah mencadangkan mencadangkan penubuhan sebuah badan seperti Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, cadangan itu dikemukakan atas keyakinan ia mampu menyelesaikan isu ekonomi, politik, sosial dan kesihatan yang dihadapi negara, kesan penularan pandemik. – MalaysiaGazette