Sebanyak 18 kluster baharu akibat penularan Covid-19 dikesan hari ini dan daripada jumlah itu separuhnya  kluster komuniti.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 18 kluster baharu akibat penularan Covid-19 dikesan hari ini dan daripada jumlah itu separuhnya  kluster komuniti.

Sebelum ini, kluster tempat kerja secara lazim mendominasi laporan kluster pandemik.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini, sebanyak 2,970 kluster dikesan manakala 2,120 daripadanya ditamatkan sementara 850 lagi masih aktif.

“Enam kluster lagi dikesan di tempat kerja diikuti dua kluster kumpulan berisiko tinggi dan satu kluster pendidikan tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kluster Komuniti melibatkan Lorong Tiga Kampung Siol Kandis, Sungai Bedil Besar dikesan Sarawak; Pintasan Kota Belud dan Siasai Dundau di Sabah.

Selain itu, ia turut membabitkan Jalan Bukit 17 dan Jalan Pulasan 18 di Johor; Taman Dovenby di Perak dan Selangor; Jalan Panhang di Selangor dan Jalan Nik Yusof di Kelantan.

Tambah Dr. Noor Hisham, enam kluster tempat kerja pula iaitu di Tasik Utama 2 dan Industri Lengkok Emas Nilai dikesan di Negeri Sembilan; Industri Jalan TMP Lapan dan Jalan Tun Razak Peringgit di Melaka; Jalan Metro Perdana di Kuala Lumpur dan Pasar Orkid di Selangor.

Justeru katanya, kluster pendidikan tinggi iaitu Sejantung dikesan di Hulu Selangor dan dua kluster kumpulan berisiko tinggi iaitu Jalan Limau Kampung Pasir dan Jalan Parit Mahang masing-masing dikesan di Johor Bahru dan Kuala Selangor.

Memperincikannya, beliau berkata, Kluster Komuniti Lorong Tiga Kampung Siol Kandis membabitkan kawasan Kuching dan Samarahan dalam kalangan komuniti yang menghadiri sebuah majlis pengkebumian dari 2 hingga 4 Jun lalu yang mana 213 individu disaring setakat ini dan 69 daripadanya dikesan positif.

“Justeru kluster kumpulan berisiko tinggi pula di Jalan Parit Mahang, Kuala Selangor, kes dikenalpasti membabitkan kakitangan dan penghuni sebuah pusat jagaan warga emas di Bestari Jaya yang mana 71 orang disaring dan seramai 44 daripadanya dikesan positif.

“Manakala kluster tempat kerja pula di Jalan Metro Perdana melibatkan pekerja-pekerja pasar raya di Jalan Metro Perdana Barat, Taman Usahawan Kepong iaitu indeks kluster seorang wanita berusia 37 tahun positif hari ini hasil saringan kontak rapat,” ujarnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast