forfeiture suit UMNO MCA Najib Razak 1MDB scandal Court of Appeal appeals Palace of Justice
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari memerintahkan ganti rugi lebih RM290,000 bagi kecuaian dan tuntutan tanggungan dibayar kepada keluarga seorang tahanan yang meninggal dunia dalam Penjara Tapah pada 2014.

Barisan tiga panel hakim diketuai Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk M Gunalan sebulat suara membenarkan rayuan keluarga Kamarulnizam Ismail untuk mendapatkan ganti rugi atas kecuaian dan tuntutan tanggungan.

Keputusan itu dibuat selepas mendengar rayuan oleh ibunya yang berusia 71 tahun, Rahaya Salleh.

Mahkamah turut memerintahkan pihak berkuasa membayar kos mahkamah sebanyak RM5,000 kepada keluarga Kamarulnizam.

Menurut peguam mewakili keluarga mangsa, M Viswanathan, mahkamah memberikan ganti rugi kecuaian sebanyak RM250,000 dan RM40,800 bagi tuntutan tanggungan.

Selain itu, kata Viswanathan, mahkamah turut memberikan ganti rugi khas sebanyak RM10,000 dan RM2,000 untuk kos pengebumian.

“Kos di Mahkamah Tinggi turut dinaikkan kepada RM30,000 daripada RM12,000,” katanya selepas selesai prosiding keputusan kes yang dijalankan hari ini.

Pada 24 Jun tahun lepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan kerajaan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan RM100,000 kepada Rahaya sebagai ganti rugi bagi penahanan tidak sah selain RM50,000 bagi misfeasans atau salah guna kuasa dalam jawatan awam.

Pada Ogos 2019, Pesuruhjaya Kehakiman Anslem Charles Fernandis (kini Hakim Mahkamah Tinggi) memutuskan bahawa defendan bertanggungjawab atas kecuaian dan memberikan ganti rugi sebanyak RM100,000 atas penahanan tidak sah serta RM50,000 bagi salah guna kuasa dalam jawatan awam.

Dalam penghakimannya, Fernandis berkata, Kamarulnizam, 39, ditahan di lokap Balai Polis Seberang Prai selama dua hari sebelum dipindahkan ke Penjara Tapah selain menyifatkan tahanan itu tidak sah.

Ini kerana, kata Fernandis, mengikut peruntukan Seksyen 282 Kanun Acara Jenayah, apabila terdapat perintah mahkamah, adalah mandatori bagi pegawai polis untuk bertindak dalam masa yang munasabah membawa mereka yang didapati bersalah ke penjara dan bukan melakukannya selepas dua hari.

Beliau juga berkata, pegawai wadar Penjara Tapah sepatutnya mengawasi Kamarulnizam dan lebih berwaspada selepas mangsa diberikan ubat untuk cirit-birit.

Mahkamah Majistret di Pulau Pinang menjatuhkan hukuman denda RM800 atau penjara 14 hari ke atas Kamarulnizam selepas dia mengaku melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29 Akta Kesalahan Kecil 1957 dan Seksyen 89 Akta Polis 1967.

Media melaporkan bahawa Kamarulnizam yang bekerja di sebuah kilang gula memilih untuk menjalani hukuman penjara kerana memerlukan wang itu untuk memperbaiki kereta walaupun  bapanya datang ke mahkamah untuk membayar denda.

Rahaya bertindak memfailkan saman terhadap responden pada 3 Mac 2017 dan menuntut ganti rugi bagi tuntutan tanggungan, misfeasans atau salah guna kuasa dalam jawatan awam serta ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas.

Peguam Kanan Persekutuan, Azizan Md Arshad dan Andi Razalijaya A Dadi mewakili pihak berkuasa dan kerajaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast