Mohd Muzzammil Ismail.

KUALA LUMPUR – Pelantikan Timbalan Perdana Menteri dan menteri kanan baharu tepat pada masanya dalam usaha mengukuhkan pentadbiran negara serta memulihkan kestabilan politik dalam Perikatan Nasional (PN).

Bekas Exco Pemuda Bersatu (Armada), Muzzammil Ismail berkata, ini bukan soal jawatan tetapi strategi menggagalkan usaha mengucarkacir kerajaan melalui idea jajaran baharu.

“Kedua-dua pemimpin UMNO ini berpengalaman luas dan mampu menyatukan semula UMNO dengan PN. Pelantikan ini diharapkan lebih ramai ahli Parlimen menyokong usaha kerajaan yang bekerja keras menguruskan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Pelan Prihatin, Pemerkasa dan Pelan Pemulihan Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri berkuat kuasa serta-merta.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, Ismail Sabri juga kekal memegang jawatan Menteri Pertahanan.

“Pelantikan ini akan dapat membantu Perdana Menteri menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dan negara yang sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Sementara itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri.

Sebagai menteri kanan, beliau akan mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini diketuai Ismail Sabri dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Muzzammil yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) berkata, pelantikan dua ahli Parlimen UMNO itu dapat meredakan pergolakan politik ketika ini.

“Desakan untuk dijalankan pilihan raya segera akan dapat dielakkan sehingga mana peratusan kes Covid-19 berada pada tahap selamat.

“Kerajaan pada ketika itu, lebih berperanan sebagai alat negara untuk mengurus penyakit. Jauh berbanding kosmetik politik. Tan Sri Mahiaddin bijak sinergikan perbezaan politik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Meredakan kepala hotak ko…ko ada tanya UMNO sebelum lantik ahli UMNO? Ni Mail Sabri dan Hishamudin ni wakil dari parti mana? Tindakan ko seperti mencurah minyak atas api…nampak sangat atas kepentingan politik..sebab apa skrg baru lantik? Dan bukan kah UMNO dah kata mrk tolak jawatan TPM? Muhyidin dah terdesak sangat nak pertahankan kuasa dgn cara kucar kacirkan perpaduan ahli UMNO…busuk sungguh!

Comments are closed.