Gambar Hiasan

HAK orang muda dalam negara kita untuk mengundi harus dipenuhi dengan segera. Setiap orang berhak diberi hak untuk mengundi serta memilih pemimpin yang mereka ingini  bagi mewakili suara mereka. Setiap negara yang mengamalkan sistem demokrasi akan membenarkan rakyat mereka untuk mengundi bagi memilih pemimpin. Hak mengundi ini penting bagi memastikan pemimpin yang dipilih dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan kepada mereka dengan baik. Hak
mengundi ini juga penting bagi melindungi kebajikan dan kesejahteraan semua orang serta menjamin kemajuan negara.

Sekiranya hak mengundi ini tidak diberikan kepada orang ramai, sukar untuk sesebuah negara itu membangun dan menjadi maju. Hak seseorang itu untuk mengundi sudah
lama wujud dalam sejarah peradaban dan tamadun manusia. Sejak zaman pemerintahan Greek dan kerajaan Rom lagi, hak mengundi ini telah diberikan. Walaupun hak mengundi hanya diberikan kepada golongan tertentu sahaja pada masa lampau, namun seiring dengan perkembangan zaman, hak mengundi telah diberikan kepada hampir kepada semua orang yang ada di dalam sesebuah negara.

Kini, majoriti penduduk dunia memiliki hak untuk mengundi. Hak mengundi ini juga telah menjadi sebahagian daripada prinsip hak asasi manusia yang perlu dihormati dan dilindungi. Perkara ini jelas termaktub di bawah beberapa konvensyen dan deklarasi antarabangsa seperti Pengisytiharan Antarabangsa Mengenai Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR), Perjanjian Antarabangsa Tentang Hak-Hak Sivil dan Politik 1966 (ICCPR), Konvensyen Perlindungan Terhadap Hak Asasi Manusia di Eropah 1950 (ECHR), Piagam Negara-Negara Amerika 1948 (OAS), Piagam Terhadap Hak Asasi Manusia di Afrika atau lebih dikenali sebagai Piagam Banjul, dan beberapa dokumenantarabangsa mengenai hak asasi manusia.

Walaupun hak mengundi ini sudah menjadi sebahagian daripada hak asasi manusia, namun masih terdapat beberapa golongan yang dinafikan hak mereka untuk mengundi. Di Malaysia, isu hak mengundi ini sudah mula mendapat tempat apabila apabila sebilangan orang muda dinafikan hak mereka untuk mengundi. Menurut Perlembagaan Persekutuan, iaitu undang–undang tertinggi sekali dalam negara kita, seseorang warganegara hanya layak untuk mengundi apabila mereka sudah mencapai usia 21 tahun. Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa “Kelayakan pemilih (1) Tiap-tiap warganegara yang (a) telah mencapai umur 21 tahun pada tarikh kelayakan…berhak mengundi di dalam bahagian pilihan raya itu dalam mana- mana pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan”.

Isu had usia mengundi bermula pada usia 21 tahun ini juga telah diperkukuhkan lagi bawah Akta Pilihan Raya 1958 [Akta 19] yang mentafsirkan seseorang pemilih itu sebagai
seseorang yang sudah mencapai umur 21 tahun mengikut Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan. Penetapan had usia mengundi bermula pada usia 21 tahun ini telah
mencetuskan perasaan tidak puas hati ramai pihak khususnya dikalangan golongan muda dalam negara yang sudah mencapai usia dewasa iaitu apabila mencecah usia
18 tahun. Apabila seseorang itu sudah mencecah usia 18 tahun, mereka bukan lagi dianggap sebagai golongan kanak- kanak dalam negara kita. Apabila mereka sudah
mencecah usia 18 tahun, mereka akan dianggap sebagai seorang dewasa yang mampu memikul pelbagai jenis tanggungjawab serta menentukan masa depan mereka sendiri.

Hakikat ini bukan sahaja terpakai dalam Malaysia malah di hampir semua negara dalam dunia. Namun berdasarkan peruntukan sedia ada didalam Perlembagaan Persekutuan mereka masih dilarang untuk menentukan masa depan negara mereka sendiri apabila tidak dibenarkan untuk mengundi selagi belum mencapai usia 21 tahun. Perubahan tampuk pemerintahan kerajaan yang berlaku pada tahun 2018 melalui proses Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) telah membawa perubahan yang besar terhadap perkara ini. Kerajaan baru ketika itu telah mengambil usaha dengan membawa sebuah Rang Undang – Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) atau lebih dikenali sebagai RUU Undi 18 bagi menurunkan had usia mengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun yang kemudiannya telah diluluskan dengan jumlah undi yang amat besar dari kalangan ahli Dewan Rakyat.

Proses untuk pihak kerajaan bagi mendapatkan sokongan ahli Dewan Rakyat untuk RUU Undi 18 ini tidak mudah. Setiap ahli Parlimen mempunyai pandangan dan pendapat yang berlainan apabila isu penurunan had usia mengundi ini diketengahkan. Rata-rata ahli Parlimen blok kerajaan pada waktu itu memang menyokong had usia mengundi ini diturunkan kepada usia 18 tahun. Untuk ahli Parlimen blok pembangkang pula, mereka menekankan isu pengundian secara automatik. Pertemuan secara peribadi oleh YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, ahli Parlimen Muar dan pencetus idea Undi 18 ini telah diadakan dengan semua pemimpin pembangkang pada waktu itu bagi mendapatkan pendapat dan sokongan mereka terhadap RUU Undi 18 berkenaan.Hanya dengan sokongan bipartisan dari pihak kerajaan dan pembangkang, barulah RUU Undi 18 ini akhirnya berjaya diluluskan. Kelulusan RUU Undi 18 ini mendapat reaksi positif daripada ramai pihak dalam negara kita khususnya dalam kalangan golongan muda. Dengan adanya RUU Undi 18 ini mereka yang sudah mencapai had usia dewasa 18 tahun boleh melibatkan diri mereka untuk menentukan nasib perjalanan

negara ini. Penglibatan golongan muda didalam proses mengundi ini juga dapat memperkuatkan lagi sistem demokrasi dalam negara kita.  Orang muda harus diiktiraf sebagai golongan yang boleh memilih masa hadapan dan hala tuju negara. Hampir semua negara di seluruh dunia telah mengiktiraf hak mengundi ini kepada orang muda di negara masing-masing. Pada tahun 2019, Malaysia telah bersuara dan mengikut jejak langkah demokrasi dunia. Maka, kerajaan hari ini harus melaksanakan keputusan yang telah dipersetujui oleh pihak kerajaan dan pembangkang pada tahun 2019 yang lalu. Hormatilah keputusan yang telah dibuat oleh Dewan Rakyat terhadap perkara ini. Hormatilah hak orang muda kita untuk mengundi dan memilih pemimpin mereka sendiri. Kerajaan hari ini juga perlu suarakan komitmen untuk melaksanakan UNDI 18 selewat-lewatnya pada Julai 2021.

Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Profesor Madya,
Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)