Komander Pasukan Polis Marin (PPM), Deputi Komisioner Mohd Yusoff Mamat bercakap pada sidang media mengenai laporan kejayaan Pasukan Polis Marin di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 07 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Pasukan Polis Marin (PPM) melakukan rampasan berjumlah RM220.4 juta untuk enam bulan pertama tahun ini berbanding RM55.7 juta untuk tempoh sama 2020, peningkatan 295 peratus.

Ia membabitkan pemeriksaan ke atas 38,694 buah kapal dan 157,467 orang individu di perairan negara.

Komander PPM, Deputi Superintendan Yusoff Mamat berkata, kesemua rampasan itu membabitkan aktiviti perlanggaran undang-undang yang berkaitan dengan penyeludupan barangan kontraban, penyusupan pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan keluar masuk dadah, pencerobohan nelayan asing dan tempatan yang melanggar peraturan perikanan serta lain-lain kesalahan.

“Untuk Januari hingga Jun 2020, sebanyak 29,908 kapal tempatan dan asing diperiksa membabitkan 127,239 orang.

“Selain daripada itu, sebanyak 3,435 kes tangkapan direkodkan pada Januari hingga Jun tahun ini berbanding 2,300 kes membabitkan pelbagai kesalahan bagi tempoh sama tahun lalu sekaligus menunjukkan peningkatan keberhasilan sebanyak 49 peratus (1,135 kes),” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Menurut Yusoff, kes yang membabitkan Akta Perikanan 1985 turut meningkat untuk enam bulan pertama tahun ini dengan 1,460 kes melibatkan nilai rampasan berjumlah RM13.44 juta berbanding 625 kes untuk tempoh yang sama tahun lalu.

Menurutnya, kes tangkapan melibatkan Akta Imigresen 1959/63 adalah sebanyak 57 kes tahun ini dengan nilai rampasan berjumlah RM18.8 juta diikuti 133 kes jenayah membabitkan Akta Kastam 1985 nilai rampasan sebanyak RM156.3 juta.

“Peningkatan ini berlaku pada tempoh enam bulan pertama ini memandangkan kita telah meningkatkan pemeriksaan dan rondaan di perairan negara lebih kerap dan ketat dengan aset-aset yang ada yang menjadi faktor kepada kejayaan keberhasilan yang tinggi kali ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette