Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR  – Usah percaya berita palsu kononnya UMNO melobi jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Itu peringatan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam hantaran di laman Facebook pagi ini.

Katanya, Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah memutuskan untuk tidak menerima jawatan TPM jauh sekali untuk melobi.

“Lagipun daripada melobi jawatan TPM, lebih baik melobi PM untuk tambah baik bantuan rakyat termasuk moratorium tanpa faedah terakru, i-Citra, segerakan dan tambah lagi Bantuan Tunai BPR,BPN, BKC,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Asyraf berkata, daripada melobi jawatan TPM lebih baik juga melobi perdana menteri supaya menutup kilang-kilang tidak essential jika total lockdown benar-benar dilaksanakan dan bukan hanya mengurung rakyat.

“Rakyat terdesak perlu bantuan bukan jawatan TPM!” Katanya.

Pelbagai spekulasi bertiup kencang kebelakangan ini mendakwa UMNO akan menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional menjelang Ogos.

Beberapa siri pertemuan antara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan barisan kepimpinan parti itu dikatakan telah berlangsung dalam merundingkan hal tersebut.

Turut heboh diperkatakan tentang UMNO melobi jawatan Timbalan Perdana Menteri yang tidak diwujudkan sejak Tan Sri Muhyiddin Yassin dipilih secara sepakat sebagai perdana menteri apabila Perikatan Nasional mengambil-alih tampuk pemerintahan daripada Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast