PUTRAJAYA – Sebanyak 1,000 kotak bantuan bernilai RM250,000 akan dihantar ke Pulau Redang dan Pulau Perhentian Terengganu untuk menyatuni 700 keluarga di sana.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Dr Ahmad Sany Araby Abdul Alim Araby berkata, bantuan itu akan diagihkan kepada penduduk yang terjejas susulan penutupan sektor pelancongan akibat pandemik Covid-19.

“Kita telah mengenalpasti 700 keluarga yang memerlukan bantuan yang merangkumi 500 set lampin bayi, dan 500 set susu pelbagai serta bantuan asas lain.

“Biarpun bantuan ini bukanlah segalanya namun sekurangnya dapat meringankan beban keluarga di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melepaskan Misi Bantuan Ihsan : Panggilan Pulau ke Pulau Redang dan Pulau Perhentian di Kompleks Islam di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Ahmad Sany menambah, pihaknya berhadapan dengan cabaran logistik dari jeti ke kedua-dua pulau.

“Namun dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), ia berjaya diuruskan,”katanya.

Ahmad Sany berkata, pihaknya turut mengenalpasti individu T20 dan M40 yang kini telah jatuh kepada B40.

“Golongan ini ada rumah, ada kereta, tetapi mereka senyap kerana perniagaan telah pun gulung tikar pada pandemik ini, jadi mereka juga akan kami santun,” katanya.

Menurutnya, sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) misi bantuan tersebut hanya melibatkan 12 individu.

“Kesemua akan menjalani ujian calitan Covid-19 sebelum pelepasan, sebaik tiba di pulau dan selepas selesai misi bantuan,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli memuji kepantasan Mapim dalam misi berkenaan.

“Usaha luar biasa dengan menggabungkan kedua-dua pulau. Bantuan ini setidak-tidaknya akan meringankan beban,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast