Bank Rakyat

KUALA LUMPUR – Bank Rakyat menawarkan bantuan moratorium selama enam
bulan kepada pelanggannya bermula semalam.

Pelanggan individu dan perusahaan mikro boleh memohon bantuan moratorium melalui borang elektronik yang disediakan di https://cv19-support.bankrakyat.com.my/.

Manakala, pelanggan PKS boleh menghubungi pengurus hubungan Bank atau Pusat Perniagaan Perusahaan Kecil Sederhana dan Koperasi (SME & Cooperatives (SMEC) Business Centre) bagi mendapatkan bantuan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata,
tawaran ini terbuka kepada pelanggan individu daripada golongan B40, M40 dan T20,
semua perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan
akibat pandemik COVID-19.

“Tiada dokumen diperlukan dan semua permohonan akan diberi kelulusan automatik
sebaik sahaja diterima, tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank.

”Selain itu, rekod laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) pelanggan juga tidak akan terjejas sekiranya mereka memilih untuk menangguhkan bayaran pembiayaan
mereka,” katanya.

Walau bagaimanapun, moratorium automatik ini hanya ditawarkan untuk pembiayaan
yang diluluskan sebelum 1 Julai 2021 dan tidak tertunggak lebih daripada 90 hari pada
tarikh permohonan moratorium diserahkan kepada Bank.

Menurut beliau, setakat Jun 2021, Bank Rakyat telah menerima jumlah keseluruhan sebanyak 634,043 permohonan penangguhan bayaran pembiayaan daripada pelanggan individu serta perniagaan. – MalaysiaGazette