Shahrir Samad

KUALA LUMPUR – Pendirian Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam tidak seharusnya menjadikan menteri-menteri UMNO dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) rasa serba salah atau malu kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas Ahli Parlimen Johor Baru, Tan Sri Shahrir Samad berkata, ini kerana penarikan sokongan MT UMNO dan desakan supaya Muhyiddin berundur secara terhormat mengingatkan peristiwa sama selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada tahun 2008.

Dakwa beliau, Muhyiddin masih kekal dalam Jemaah Menteri walaupun menyatakan Tun Abdullah Ahmad Badawi sepatutnya meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dengan seberapa segera dari tempoh setahun yang dicadangkan walaupun tempoh berkenaan diketahui oleh Muhyiddin.

”Tak de pun rasa serba salah atau malu. Jadi, menteri-menteri UMNO tidak perlu rasa malu dengan TS Mahaidin (Muhyiddin).

”Rasa malu kepada parti? Itu kena tepuk dada, tanya selera. Kalau dalam dada ada prinsip dan falsafah, seleranya jelas,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Shahrir berkata, kalau Muhyiddin berundur, kerajaan sudah ada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang boleh mengambil alih.

”Sebelum ini, ada menteri-menteri kanan. Mereka akan bergaduh sesama mereka kerana tidak tahu siapa yang sebenarnya yang dipercayai oleh PM untuk membantunya.

”Sekarang sudah jelas. DS Ismail Sabri boleh jadi PM sementara, kerajaan tidak goyang. Kembali balik juga kepada parti untuk dapat restu jadi PM sebetulnya,” ujar beliau.

Namun, kalau Ismail Sabri menjadi perdana menteri, beliau perlu mendapatkan sokongan Dewan Rakyat seperti mana yang dilakukan oleh Allahyarham Tun Hussein Onn lakukan pada 27 Januari 1976 (12 hari selepas dilantik PM) dan juga seperti Tun Abdullah Ahmad pada 3 Disember 2003 (3 hari selepas perlantikan). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast