idrus harun
Idrus Harun

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik pendirian Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berhubung sokongan majoriti terhadap Perdana Menteri.

Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) itu mendakwa, ketika ini undang-undang tidak dilaksanakan dengan sejajar.

Ia selepas Idrus menegaskan tiada fakta jelas menunjukkan Tan Sri Muhyiddin Yassin hilang sokongan majoriti meskipun UMNO telah membuat pendirian menarik balik sokongan terhadapnya.

“Nampak undang-undang ini dia berjalan kaki kiri, kaki kanan pun dia tak tahu. Ada kala kaki kiri, ada kala kaki kanan.

“Dan kita tak boleh lagi bergantung kepada undang-undang, kerana undang-undang itu ditafsir dan dikuatkuasakan mengikut budi bicara bukan mengikut undang-undang,” katanya pada sidang media secara dalam talian hari ini.

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi mendakwa, Muhyiddin pernah meraih kuasa selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari tahun lepas.

“Kami ingin beritahu bahawa di waktu Muhyiddin mendakwa dia mendapat sokongan majoriti, dia juga tidak mengambil persetujuan daripada setiap wakil rakyat, khususnya daripada parti Bersatu.

“Daripada Bersatu, kami enam orang tak menyokong, tapi dimasukkan juga seolah-olah kami menyokong.

“Jadi ini adalah satu pembohongan. Jika kenyataan dibuat oleh presiden parti tak boleh diterima, sepatutnya kenyataan Muhyiddin tak diterima.

“Tapi diterima, dan Muhyiddin diisytihar sebagai perdana menteri. Tapi kali ini pula, kenyataan presiden parti tak boleh diambil kira,” ujarnya.

Terdahulu hari ini, Idrus dalam satu kenyatan ringkas memaklumkan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri sedia ada masih kekal untuk terus menjalankan kuasa Eksekutif Persekutuan.

Beliau berkata, kedudukan kerajaan ditentukan oleh kepercayaan ahli-ahli Dewan Rakyat sendiri dan bukannya melalui kenyataan sesuatu parti politik atau mana-mana pemimpin politik.

Menurut beliau, berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat hendaklah ditentukan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat sendiri.

Untuk itu, Idrus katanya, kedudukan Muhyiddin dan kerajaan PN masih kekal seperti sebelum ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast