Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) baru-baru ini telah mengambil tindakan ke atas firma audit Jamal, Amin and Partners (JAP), dan rakan kongsinya, Ahmad Hilmy Johari kerana gagal mematuhi syarat-syarat pendaftaran AOB yang mana antara lain, juruaudit berdaftar dikehendaki mematuhi piawaian pengauditan dan etika antarabangsa.

JAP dan Hilmy telah melanggar Undang-Undang Kecil mengenai Etika, Tatalaku dan Amalan Profesional Institut Akauntan Malaysia (Undang-Undang Kecil MIA) berkaitan dengan penyediaan perkhidmatan yang dilarang.

Di bawah Seksyen R601.6 Undang-Undang Kecil MIA, firma audit atau rakan kongsi auditnya adalah dilarang menyediakan perkhidmatan perakaunan dan simpan kira-kira seperti penyediaan penyata kewangan untuk pelanggan auditnya.

Hilmy merupakan Rakan Kongsi Tugasan untuk audit ke atas lima entiti kepentingan awam (PIE) ketika dia menyediakan penyata kewangan bagi pihak PIE dan anak-anak syarikat berkenaan.

AOB menganggap ketidakpatuhan terhadap piawaian etika ini sebagai satu kesalahan serius kerana ia menjejaskan kebebasan juruaudit dan ancaman semakan kendiri (self-review).

Sehubungan ini, AOB telah membatalkan pendaftaran Hilmy dan mengenakan denda sebanyak RM400,000 terhadap JAP.

Firma tersebut turut dilarang untuk menerima dan mengaudit mana-mana PIE dan kumpulan wang jadual selama 12 bulan berkuat kuasa 30 Jun 2021.

Selain itu, AOB telah mengenakan denda terhadap JAP dan Hilmy masing-masing sebanyak RM150,000 dan RM50,000 kerana melanggar peraturan Piawaian Pengauditan Antarabangsa (ISA) berhubung tugasan audit bagi pelanggan PIE-nya.

JAP juga dilarang daripada menerima dan mengaudit mana-mana PIE atau kumpulan wang jadual selama 12 bulan berkuat kuasa 30 Jun 2021.

Sebagai rakan tugasan audit PIE, AOB mendapati Hilmy gagal melaksanakan prosedur audit dan memperoleh bukti audit yang mencukupi untuk menyokong kesimpulan audit yang dicapai berkenaan deposit tetap, modal saham dan rizab lain, peruntukan kecacatan liabiliti, pendapatan dan kos jualan dan penyatuan kumpulan.

Dalam kebanyakan kejadian, bukti audit di dalam fail audit sama ada tidak lengkap atau tidak memadai untuk menyokong kerja audit yang dijalankan, asas pertimbangan yang diguna pakai dan kesimpulan audit yang dicapai.

JAP dan Hilmy telah membuat rayuan kepada SC terhadap tindakan yang dikenakan oleh AOB.

Rayuan tersebut telah ditolak, dan pada 30 Jun 2021, SC telah mengesahkan tindakan AOB terhadap JAP dan Hilmy. – MalaysiaGazette