Petugas Kesihatan memakaikan gelang kepada pesakit COVID-19 selepas melakukan penilaian kesihatan terhadap mereka ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), Stadium Malawati Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 24 MEI 2021

KUALA LUMPUR – Bekas pesakit Covid-19, iaitu individu yang telah pulih daripada jangkitan virus SARSCoV-2 tidak perlu menunggu selama tiga bulan untuk menerima suntikan vaksin.

Keputusan ini dibuat oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Bekalan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) dalam persidangan semalam berdasarkan pendapat pakar yang dibentangkan.

Pandangan itu menyatakan walaupun bukti terkini menunjukkan jangkitan semula jadi virus itu menghasilkan perlindungan yang baik terhadap jangkitan semula selama sekurang-kurangnya tiga bulan, namun kemunculan varian baharu virus ini menyebabkan ada keperluan bagi pemberian vaksin yang lebih awal daripada tempoh ditetapkan sebelum ini.

Sehubungan itu, bekas pesakit Covid-19 yang telah disahkan bebas daripada virus COVID-19 kini dibenarkan untuk divaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) menurut janji temu yang telah diberikan, kata JKJAV.

Namun begitu, bagi pesakit Covid-19 yang mendapat antibodi monoklonal anti-SARS-CoV-2 (anti-SARS-CoV-2 monoclonal antibodies) atau convalescent plasma sebagai sebahagian daripada rawatan Covid-19 hanya dibenarkan mendapat suntikan vaksin sekurang-kurangnya 90 hari selepas tarikh pulih dari jangkitan virus tersebut.

Ini adalah langkah berjaga-jaga yang diambil kini, sehingga terdapat maklumat tambahan, untuk mengelakkan kemungkinan gangguan terapi antibodi dengan tindak balas imun yang disebabkan oleh vaksin.

JKJAV juga menggesa orang ramai yang masih menunggu keputusan ujian Covid-19 untuk tidak hadir ke PPV walaupun telah mempunyai janji temu atau sebagai pengiring.

Mereka yang terpaksa membatalkan janji temu ini akan diberikan satu tarikh baharu secara automatik kelak. – MalaysiaGazette