logo mahlamah

PETALING JAYA – Seorang bekas ratu cantik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan menumbuk anggota polis dan menggunakan dadah berbahaya.

Tertuduh, Kohinoor Damodaran Kaittiani, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Tertuduh berpakaian baju hitam dibawa bersama seorang lagi rakannya dengan tangan sebelah mereka digari dikawal dua anggota polis wanita dari Ibu pejabat Daerah Petaling Jaya.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, Kohinoor didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam dengan menumbuk anggota polis, Koperal Sharularifin Sarmadan.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Jalan Universiti, di sini, kira-kira jam 3 pagi semalam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperutukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam pertuduhan kedua, Kohinoor didakwa menggunakan dadah berbahaya jenis Tetrahydrocannabinol (THC) atau ganja di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada jam 2 petang hari yang sama.

Bagi kesalahan itu, wanita berkenaan dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama.

Jika disabitkan kesalahannya dia boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali dan pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Lau Chia Xin yang mengendalikan prosiding pendakwaan mencadangkan kepada mahkamah supaya tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan yang dihadapinya.

Bagaimanapun, peguambela tertuduh, Datin Raj Preet Kaur berhujah dan merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah kerana perniagaan restorannya terpaksa ditutup ekoran kesan penularan Covid-19.

Selepas mendengar dan mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak pendakwa raya dan peguambela, Zhafran membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 bagi pertuduhan pertama manakala RM1,000 bagi pertuduhan kedua.

Beliau menetapkan 6 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam prosiding sama, rakan Kohinoor, Quek Shen Tying, 33, juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan dadah jenis ganja (Tetrahydrocannabinol) pada jam 2.15 petang di lokasi dan tarikh yang sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 15 akta sama.

Jika disabitkan kesalahannya dia boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali dan pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.

BACA: Bekas ratu cantik mabuk rempuh SJR 

Mahkamah kemudian membenarkan Shen Tying diikat jamin RM1,500 dan menetapkan 1 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

Bekas ratu cantik mabuk rempuh SJR