MONTANA – Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) sedang mencari seekor beruang berbulu perang yang membunuh seorang wanita di sini setelah menyeretnya dari khemahnya di tengah malam, Selasa lalu.
Leah Lokan, seorang jururawat berusia 65 tahun dari California, yang berbasikal bersama-sama rakannya telah berhenti di bandar Ovando.
Sebelum serangan berlaku, rakan-rakan Lokan telah menggunakan penyembur untuk menghalau haiwan itu keluar dari kawasan perkhemahan mereka.
Kakitangan hidupan liar telah memantau kawasan itu dan merancang untuk membunuh beruang itu sekiranya ia dijumpai.
Perkhidmatan penyelamat udara swasta, Two Bear Air Rescue, menggunakan teknologi inframerah untuk mencari haiwan itu, menurut Montana’s Fish, Wildlife and Parks (FWP).
Perangkap juga telah diletakkan di kawasan berhampiran kandang ayam di mana beruang itu membunuh dan memakan beberapa ekor ayam pada malam yang sama.
Penyiasat percaya haiwan itu mempunyai berat kira-kira 181 kilogram.
DNAnya telah dijumpai di lokasi serangan dan akan dibandingkan dengan DNA beruang yang diperangkap oleh pihak berkuasa.
Seorang rakan mangsa, Mary Flowers memberitahu, Lokan sering berbasikal jarak jauh sebelum ini.
FWP mengatakan, beruang itu pertama kali mendekati kumpulan yang berkhemah sekitar pukul 3.00 waktu tempatan (09:00 GMT), tetapi pada awalnya melarikan diri.
Lokan dan dua individu lain yang bersamanya telah mengeluarkan makanan yang berada dalam khemahnya sebelum masuk tidur.
Tetapi beruang itu kembali semula ke khemah tersebut dan melakukan serangan.
Ovando adalah kawasan berkomuniti kecil, kurang 100 orang – terletak di Glacier National Park dan merupakan kawasan populasi beruang terbesar di Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette