Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Sebanyak 52 premis termasuk kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan penutupan itu dikeluarkan hasil daripada operasi pematuhan yang dijalankan pihak berkuasa, semalam.

“Kerajaan telah mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang-kilang dan premis-premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan SOP yang telah diwartakan.

“Semalam Pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan 85,123 pemeriksaan dan snap check Covid-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 19,891 orang.

“Ia termasuk pemeriksaan ke atas 2,226 kilang, 14,916 premis perniagaan, 1,005 tapak pembinaan dan 321 asrama penempatan pekerja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam operasi sama, pihak berkuasa turut menahan 417 individu atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, seramai 408 individu dikompaun, manakala sembilan lagi direman.

“Antara kesalahan tertinggi ialah rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran, serta makan dan minum di premis melibatkan 96 kes, tidak memakai pelitup muka (74), tiada penjarakan fizikal (58), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (46), membawa penumpang berlebihan (34).

“Turut dikesan ialah premis gagal patuhi arahan (12), majikan gagal memastikan kapasiti kehadiran pekerja dan menjalani ujian saringan (6) serta lain-lain (91),” katanya.

Selain itu, Operasi Benteng semalam pula menahan seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas dua kenderaan darat dan dua bot atau kapal.

“Dalam operasi itu, sebanyak dua buah bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette