Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari meninjau kawasan Pangsapuri Sri Ayu selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 10 JULAI 2021.

BANDAR BARU BANGI – Orang ramai di Selangor diingatkan tidak berpusu-pusu dan menyerbu Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati Shah Alam untuk membuat semakan status kesihatan mereka.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia bagi mengelak berlaku kesesakan hingga rakyat terpaksa beratur panjang sejak ia mula beroperasi sejak 8 Mei lalu.

“Saya sedang bincang dengan Datuk Dr Sha’ari Ngadiman bagaimana nak naik taraf sikit CAC Stadium Malawati, CAC yang paling banyak dikunjungi di dunia setakat ini sebab paling ramai.

“Orang ingat kalau CAC itu Stadium Malawati, memang dari semua daerah datang.

“Saya sudah pesan tolong jangan pergi ke situ semua sebab di setiap daerah kita ada CAC,” katanya pada sidang media di pekarangan Pangsapuri Sri Ayu, di sini, hari ini.

Jumlah individu yang hadir di CAC yang beroperasi di Stadium Malawati, Shah Alam dilaporkan terus meningkat.

Ramai dilihat beratur panjang sehingga ke kawasan letak kereta Stadum Malawati.

CAC Stadium Malawati diwujudkan bagi menggantikan CAC Dewan Majlis Berbandaran Subang Jaya (MBSJ) di SS15 berikutan kapasitinya yang boleh menampung lebih ramai pesakit Covid-19.

CAC di Dewan MBSJ hanya mempunyai kapasiti seramai 500 pesakit sehari berbanding CAC di Stadium Malawati yang boleh menampung sehingga 1,500 pesakit.

Dalam pada itu, Amirudin juga menggesa orsng ramai agar melayari laman web beliau sendiri atau Jabatan Kesihatan Negeri Selangor bagi mendapatkan lokasi CAC yang terdekat.

“Sepang ada dua CAC, Hulu Langat juga ada dua CAC.

“Prosesnya sama iaitu memberi gelang dan memotong gelang, membuat penilaian dan bagi beberapa keperluan kesihatan lain.

“Jadi anda ke Stadium Malawati, Hulu Langat ataupun Kajang Utama, prosesnya sama, silap-silap lebih pendek masa yang diperlukan untuk membuat penilaian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette