Ahmad Hamzah melawat tapak Pasar Tani Kekal di Datin Halimah,Larkin di sini

JOHOR BAHRU – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merancang untuk menambah 10 lagi Pasar Segar Terkawal (PST) bersama 14 buah Pasar Tani lagi dalam tempoh terdekat.

Setakat ini sebanyak 45 buah Pasar Segar Terkawal (PST) diwujudkan di seluruh negara sejak inisiatif itu diteruskan pada 1 Jun tahun lalu dalam usaha bagi mengimbangi penawaran dan permintaan hasil pertanian.

Datuk Seri Ahmad Hamzah, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, pelaksanaan PST ini akan memberikan peluang kepada lebih 2,595 orang petani untuk berniaga dan memasarkan hasil pertanian mereka.

Menurutnya, pelaksanaan PST secara keseluruhan mencatatkan nilai jualan sebanyak RM48.67 juta dengan 2,192 bilangan petani mendapat manfaat, katanya ketika memantau operasi Pasar Tani Kekal Datin Halimah di sini.

Kata beliau, enam PST di Johor menyumbang sebanyak 3 juta dari nilai keseluruhan jualan PST FAMA.

FAMA juga membangunkan 20 Pusat Rujukan Pemasaran Hasil Pertanian Berteknologi di seluruh Malaysia yang mana projek ini berfungsi bagi mewujudkan kerjasama strategikusahawan tani dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, di samping mengoptimakan hasil pendapatan
melalui teknik “vertical farming” dan penggunaan tanah di pejabat-pejabat kerajaan.

Beliau juga berkata, program ini dapat memberikan galakan kepada usahawan tani dalam merancang tanaman mereka mengikut penjadualan dan menepati kehendak pasaran pada satu-satu masa. – MalaysiaGazette