Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka diniagakan dalam jajaran ketat minggu depan antara paras 1,510 dan 1,530 apabila para pelabur terus berhati-hati di tengah-tengah penularan pandemik COVID-19, meskipun kadar vaksinasi yang menggalakkan.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim melihat tiada pemangkin utama dalam tempoh terdekat ini bagi pasaran.

“Kemungkinan pertumbuhan tinggi Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) bagi Mei yang dijangka diumumkan pada Isnin tidak dijangka menjadi perangsang bagi pasaran kerana negara belum lagi melaksanakan kawalan pergerakan sepenuhnya pada masa itu,” katanya kepada Bernama.

Semasa minggu yang baru berakhir ini, pasaran ekuiti diniagakan kebanyakannya rendah apabila kebimbangan terhadap kadar jangkitan yang tinggi telah menjejaskan sentimen, dengan angka terbaharu kes harian paling tinggi sebanyak 9,180 kes dicatatkan pada 9 Julai.

Pasaran melantun semula pada Jumaat berikutan aktiviti membeli saham berharga murah dengan kaunter sarung tangan di FBM KLCI seperti Hartalega dan Top Glove masing-masing meningkat sebanyak 1.6 peratus dan 2.7 peratus.

Sehubungan itu, indeks Penjagaan Kesihatan Bursa Malaysia merupakan penerima terbesar dalam kalangan semua sektor, mengakhiri minggu ini pada 2.1 peratus.

Pada Khamis, Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalam pada 1.75 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetarinya.

FBM KLCI turun 12.77 mata untuk ditutup minggu ini pada 1,520.58  daripada 1,533.35 minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 90.80 mata kepada 11,070.11, Indeks FBMT 100 susut 91.5 mata kepada 10,781.92 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 65.33 mata kepada 12,110.78.

FBM ACE susut 36.17 mata kepada 7,175.04, dan FBM 70 turun125.40 mata kepada 14,324.93.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan meningkat 0.59 mata kepada 187.52, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 171.82 mata kepada 14,955.63, manakala Indeks Perladangan susut 125.39 mata kepada 6,290.43.

Indeks Tenaga berkurangan 17.21 mata kepada 784.21, Indeks Penjagaan Kesihatan menguncup 36.16 mata kepada 2,2,805.39 dan Indeks Teknologi naik 2.08 mata kepada 81.42.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 27.38 bilion unit bernilai RM16.38 bilion daripada 26.86 bilion unit bernilai RM14.05 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama melonjak kepada 18.30 bilion saham bernilai RM13.48 bilion daripada 17.73 bilion saham bernilai RM11.74 billon.

Jumlah dagangan waran menambah kepada 1.15 bilion unit bernilai RM134.57 juta daripada 857.61 juta bernilai RM84.50 juta sebelumnya.

Bagaimanapun, jumlah dagangan Pasaran Ace turun kepada 6.89 bilion saham bernilai RM2.78 bilion berbanding 7.36 bilion saham bernilai RM2.22 bilion minggu lepas.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast