KUALA LUMPUR – Pelantikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Hishammuddin ussein sebagai Menteri Kanan Luar Negeri tepat pada masanya dengan mengambil kira suasana politik negara agak panas ketika ini.
Malah ianya juga dipercayai juga dapat mengukuhkan pentadbiran untuk melawan Covid-19 dan membantu rakyat yang dihimpit kesusahan.
Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah berkata, lantikan ini dapat membantu UMNO dan Barisan Nasional (BN) bangkit kembali kelak apatah lagi dalam keadaan haru biru politik pada masa ini.
”Saya yakin Ismail Sabri dan Hishammuddin akan menggalas tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh efisien dan efektif berteraskan pengalaman luas mereka di dalam pentadbiran negara oleh BN sebelum ini dan juga kerajaan PN ini.
“Sesungguhnya Ismail Sabri dan Hishammuddin dapat menjana iltizam bagi negara mematahkan rantaian penularan Covid-19 dan pulih dari segi sosio ekonomi dengan bimbingan serta panduan oleh pimpinan sebelum ini seperti Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rabu lepas Pejabat Perdana Menteri hari ini, mengumumkan Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera, dilantik Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.
Katanya, pelantikan itu dapat membantu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini.
Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong pula dilantik Menteri Kanan Luar Negeri.
Kata Murugiah lagi, lantikan juga ini sebenarnya digunakan oleh perdana menteri bagi menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini.
“Terbukti bahawa pengalaman dan kewibawaan BN dan UMNO mentadbir negara lebih enam dekad menjadi keperluan terdesak di dalam menangani krisis kesihatan dan ekonomi yang menggugat kestabilan negara.
“Saya berharap kedua-dua pemimpin ini dapat membantu perdana menteri dan kerajaan dalam memastikan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara yang berkesan.
“Dengan statistik penularan Covid-19 yang makin membimbangkan, inilah masanya kerajaan mengambil sebarang tindakan drastik yang mampu memacu pemulihan negara. Kesejahteraan negara dan rakyat harus didahulukan,” ujarnya. – MalaysiaGazette