Senior Minister of Defence, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob at a news conference after a visit to the Vaccination Centre at World Trade Centre Kuala Lumpur. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 01 JULY 2021
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Sebanyak lima lokaliti baharu lagi yang akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sabah, di mana masing-masing satu di Tawau dan Papar, serta tiga lagi di Kota Kinabalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemua lima lokaliti itu akan melaksanakan PKPD selama 14 hari, bermula 12 Julai hingga 25 Julai 2021.

“Antara lima lokaliti itu ialah QL Farm, Membalua, Tawau; Kampung Pikat, Bongawan, Papar; Kampung Suang Parai, Taman Kingfisher Sulaman dan Bandaran Berjaya di Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Sementara itu, kerajaan juga akan melanjutkan PKPD di Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud, Sabah selama 14 hari lagi, berkuatkuasa 12 Julai hingga 25 Julai 2021.

Selain itu, 11 lokaliti yang lain pula ditamatkan PKPD lebih awal iaitu bermula 11 Julai 2021 di mana enam daripadanya di Kuala Lumpur; satu di Pahang dan empat di Sabah.

“Antaranya Kawasan Sekitar Bandar Jerantut, Pahang; Kampung Tuunon, Penampang; Kampung Tawadakan dan Kampung Kota Bungan di Kota Belud; Kampung Perpaduan Ria 1, Kudat di Sabah.

“Manakala enam lokaliti di Kuala Lumpur pula ialah Flat Seksyen 2 Wangsa Maju; Kampung Puah; Flat Desa Pandan, Baiduri & Delima, Titiwangsa; Kampung Batu Muda dan Taman Koperasi Polis (Fasa 1),” katanya lagi. – MalaysiaGazette