Pendatang asing tanpa izin menaiki trak Jabatan Imigresen selepas membuat serbuan pada Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Jabatan Imigresen di sekitar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Plaza Hentian Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 24 NOVEMBER 2020.

SELEPAS berada di Tahap 2 dalam senarai pemerhatian selama tiga tahun berturut-turut,
Malaysia diturunkan ke tahap 3 dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2021 oleh
Jabatan Negara Amerika Syarikat. Sejak tersenarai dalam Laporan TIP pada tahun 2001
sehingga sekarang, Malaysia tidak pernah berada di tahap 1, tetapi telah berada sebanyak 5 kali di tahap 3. Antara punca utama penurunan ke tahap 3 tersebut adalah kerana kegagalan Malaysia menangani isu perburuhan terutamanya berkaitan pekerja asing yang bekerja dalam pelbagai sektor temasuklah sektor perladangan dan perkilangan.

Antara contoh terbaik negara yang berada di tahap 1 adalah Australia. Australia telah berada di kedudukan tersebut sejak tahun 2004 sehinggalah sekarang. Negara-negara yang berada di tahap 1 adalah negara yang telah memenuhi sepenuhnya standard minimum Trafficking Victims Protection Act (TVPA) dalam menangani jenayah pemerdagangan manusia.

Walaubagaimanapun, kedudukan di tahap 1 tidak bermakna negara tersebut telah selamat dan bebas sepenuhnya dari masalah ini. Negara-negara yang disenaraikan di tahap 3 adalah negara yang tidak memenuhi sepenuhnya syarat standard minimum yang ditetapkan oleh TVPA dan tidak melaksanakan usaha penting bagi menangani jenayah tersebut.

Negara-negara lain yang berada di tahap 3 dalam TIP 2021 bersama Malaysia adalah Afghanistan, Algeria, Burma, China, Comoros, Cuba, Eritrea Guinea-Bissau, Iran, Korea Utara, Nicaragua, Russia, Selatan Sudan, Syria, Turkmenistan dan Venezuela. Kedudukan ini bukan saja mencemarkan imej negara di mata dunia, malah negara yang disenaraikan di tahap 3 juga akan berhadapan dengan risiko yang lebih besar.

Menurut TVPA, mana-mana negara yang disenaraikan dalam Tahap 3 boleh dikenakan sekatan tertentu. Contohnya, negara tersebut mungkin tidak akan menerima dana untuk penyertaan kakitangan kerajaan dalam program pertukaran pendidikan dan kebudayaan. Presiden Amerika Syarikat juga boleh mengarahkan Pengarah Eksekutif A.S. setiap bank
pembangunan pelbagai hala dan dana monetari antarabangsa untuk menolak pemberian
pinjaman atau penggunaan dana institusi lain untuk pelbagai tujuan kecuali bantuan tertentu berkaitan kemanusiaan, perdagangan, dan pembangunan.

Selain itu, kegagalan untuk mematuhi standard TVPA dan menangani jenayah
pemerdagangan manusia di Malaysia akan turut memberi kesan buruk kepada politik, sosial dan ekonomi kepada negara secara amnya. Malaysia akan dilihat sebagai negara yang kurang berkemampuan dalam menangani jenayah antarabangsa. Kekurangan ini akan terus membuka ruang kepada kritikan lain terhadap undang-undang negara yang sedia ada dan tahap kemampuan pihak penguatkuasa dalam menangani jenayah ini. Malaysia turut dilihat sebagai negara yang tidak peka terhadap hak asasi manusia dimana pencabulan berterusan telah berlaku dalam kes pemerdagangan manusia.

Oleh itu, perkara ini harus dipandang serius oleh semua pihak terutamanya pihak kerajaan. Tidak dinafikan, kerajaan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan telah berusaha keras bagi menghapuskan jenayah ini. Pelbagai usaha dari segi pemerkasaan dan penguatkuasaan undang-undang telah dilakukan. Namun begitu, ianya masih belum mencukupi dan perlu diperkemaskan. Tindakan dan keputusan yang telah dan sedang dibuat harus dikaji semula bagi melihat keberkesanannya. Dalam hal ini, semua pihak harus bekerjasama mencari penyelesaian tanpa perlu menunding jari kepada sesiapa.

Oleh: Dr. Zuraini Ab Hamid
Pensyarah Undang-undang, Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast