Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun menyampaikan sumbangan kepada wakil penduduk PPR Kerinchi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 11 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Pemimpin parti disaran tidak bermain politik ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang pandemik Covid-19 kerana penularannya tidak mengenal sesiapa untuk dijangkiti.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebaliknya berkata, semua pemimpin perlu memberi fokus kepada usaha memerangi virus itu dan berusaha membantu rakyat yang terkesan.

Jelas beliau, usaha memerangi Covid-19 tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan memandangkan penularan boleh berlaku di mana-mana.

“Covid-19 tidak mengenal ahli parti mana. Ahli DAP, PKR, UMNO, Bersatu, Pas, GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan GRS (Gabungan Rakyat Sabah) boleh kena.

“Covid-19 tidak terkecuali dan tidak mempunyai kekebalan kepada pihak tertentu. Ini merupakan satu ‘peperangan’ bersama rakyat,” kata Naib Presiden UMNO itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di Pantai Dalam di sini.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Dalam lawatan itu, beliau yang juga Menteri Pertahanan turut meluangkan masa sekitar satu jam dan diberi taklimat oleh pasukan keselamatan mengenai operasi dan penyelarasan aktiviti PKPD di kawasan terbabit.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, orang ramai yang terputus bekalan terus menghubungi Bilik Gerakan Jabatan Kebajikan Malaysia di negeri atau daerah yang beroperasi 14 jam ketika ini.

Beliau juga memberitahu sebanyak 500,000 bakul makanan dengan RM50 juta telah diagihkan sejak awal tahun sehingga sekarang. – MalaysiaGazette