RIO DE JANEIRO – Bintang Brazil, Neymar menangis selepas pasukannya tumpas 0-1 kepada Argentina pada aksi final Copa America di Stadium Maracana di sini sebentar tadi.
Neymar cuba ditenangkan oleh rakan sepasukan dan staf pasukan Brazil selepas wisel penamat namun penyerang PSG tetap gagal menahan emosinya.
Dia mengangkat baju untuk menutup wajahnya ketika pemain Argentina meraikan kejayaan mereka di hadapan sebilangan kecil penyokong yang dibenarkan masuk ke Stadium Maracana untuk menyaksikan perlawanan itu.
Lionel Messi yang juga rakan sepasukan lamanya di Barcelona namun menjadi lawan pada perlawanan itu turut menjadi antara pemain yang cuba menenangkannya selepas permainan.
Kemenangan Argentina adalah kejayaan besar buat penyerang Barcelona, Messi yang meraih gelaran pertamanya menyarung jersi skuad kebangsaan selepas lebih sedekad meraih pelbagai pencapaian di kelab dan individu.
Dalam aksi final itu, gol pada babak pertama yang dihasilkan Angel di Maria memberi kemenangan buat Argentina yang meraih trofi utama pertama mereka sejak 1993. – MalaysiaGazette
















