Mohd Muazzam Mohamed

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menerusi Pakej Bantuan Pembayaran Pemulih (BPP) memberi pilihan kepada pelanggan sama ada mengambil moratorium selama enam bulan atau pengurangan ansuran bulanan sebanyal 50 peratus .

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed, permohonan dibuka kepada pelanggan daripada segmen B40, M40 atau T20 serta Perusahaan Mikro termasuk Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik semasa.

“Kami mengalu-alukan langkah yang diambil Bank Negara Malaysia (BNM) dan industri perbankan Islam dalam menangani impak Covid-19 terhadap kelangsungan hidup rakyat. Bantuan pembayaran ini memberikan kelonggaran kepada komitmen kewangan pelanggan buat sementara waktu dan memberi ruang agar mereka dapat menyemak semula kedudukan kewangan masing-masing,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bank Islam, katanya, sedang membantu 108,936 akaun dengan jumlah pembiayaan tertunggak sebanyak hampir RM12.63 bilion di bawah Pakej Bantuan Pembayaran Pemulih (BPP) sejak pelaksanaannya pada 7 Julai 2021.

Jumlah itu melibatkan seramai 108,846 pelanggan individu dengan jumlah pembiayaan tertunggak sebanyak RM12.6 bilion, dan 90 permohonan daripada pelanggan Perusahaan Mikro dan Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) yang melibatkan hampir RM29.43 juta.

Tambah Mohd Muazzam, Bank Islam turut menawarkan program Penjadualan dan Penstrukturan yang bersesuaian dengan kehendak pelanggan bagi pelan bayaran berpatutan.

“Di samping itu, MPKS yang layak juga dapat menikmati Pembiayaan Pelancongan Penjana (PTF) untuk pelanggan dalam sektor pelancongan; dan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) untuk pelanggan dalam sektor perkhidmatan,” jelas beliau.

Ujar Mohd Muazzam, Bank Islam turut menawarkan Program BIC-i Balance Conversion (BBC) untuk pemegang kad kredit yang memerlukan sokongan kewangan sementara.

“Ahli Kad Kredit-i Bank Islam yang layak boleh menukarkan amaun prinsipal untuk baki penyata tertunggak kepada pelan ansuran di bawah kemudahan pembiayaan bertempoh pada kadar keuntungan efektif 13 peratus setahun untuk tempoh 36 bulan,” katanya lagi.

Bank Islam turut memberi jaminan bahawa rekod dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) pelanggan tidak akan terjejas sekiranya memilih untuk mendapatkan bantuan bayaran.-MalaysiaGazette