Penggunaan kenderaan perkhidmatan awam yang telah mencapai had usia maksima dilanjutkan selama setahun lagi secara automatik.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Penggunaan kenderaan perkhidmatan awam yang telah mencapai had usia maksima dilanjutkan selama setahun lagi secara automatik.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pelanjutan itu melibatkan semua kelas kenderaan perkhidmatan di bawah skop tanggungjawab Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan LPKP Sarawak.

Inisiatif yang sama bagi membantu pemain industri pengangkutan awam termasuk pemilik teksi, bas sekolah dan bas persiaran yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menurut beliau, ia melibatkan kenderaan perkhidmatan awam yang telah mencapai had usia maksima penggunaan kenderaan untuk tempoh bermula 1 Januari sehingga 31 Disember ini.

“Pelanjutan ini adalah tertakluk kepada kenderaan terlibat menjalani dan lulus pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM bagi memastikan tahap keselamatan dan kelayakan berada di atas jalan (roadworthiness),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ka Siong berkata, keputusan diambil selepas perbincangan libat urus diadakan antara pihaknya dengan Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Pan Malaysia Bus Operators Association (PMBOA), Persatuan Pengusaha Bas Persiaran Semenanjung Malaysia (PPBPSM), Gabungan Teksi Semenanjung Malaysia (GTSM), Koperasi Melayu Teksi Pulau Pinang, Persatuan Teksi India Wilayah Persekutuan dan Persatuan Kereta Sewa Hulu Selangor.

Keputusan itu juga, katanya, turut diselaraskan dengan aspek pelesenan syarikat/agensi/operator pelancongan dan pelesenan bas pelancongan/persiaran (di Sabah, Sarawak, dan WP Labuan) yang berada di bawah skop kuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).-MalaysiaGazette