Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang mengucapkan terima kasih kepada pihak yang telah menyumbang sebuah kontena untuk penyimpanan mayat malam tadi.- Gambar FB.

KUALA LUMPUR – Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang mengucapkan terima kasih kepada pihak yang telah menyumbang sebuah kontena untuk penyimpanan mayat malam tadi.

Penghargaan itu dizahirkan dalam satu hantaran di laman Facebook HTAR hari ini.

“Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada MIC pusat di atas sokongan dan dokongan menyumbang kontena mayat kepada HTAR dalam menguruskan pandemik Covid-19 di khasnya dan negeri Selangor Darul Ehsan amnya,” katanya dalm satu kenyataan hari ini.

Malam tadi tular video seorang individu mempersoal tindakan pengurusan HTAR yang menolak sumbangan sebuah kontena yang dibeli pihaknya untuk kegunaan penyimpanan mayat.

Bagaimanapun individu berkenaan tidak menyatakan sumbangan itu dari pihak mana namun dipercayai sumbangan Pergerakan Pemuda UMNO Kota Raja.

Lelaki itu turut menyatakan pihak hospital sebelumnya telah bersetuju menerima sumbangan kontena berharga RM35,000 terbabit namun menolaknya.

Namun, tidak lama selepas itu, lelaki tersebut memaklumkan pihak HTAR telah bersetuju menerima sumbangan kontena tersebut.

Pihak HTAR juga menyiarkan video lelaki berkenaan menzahirkan terima kasih kepada pengurusan HTAR kerana menerima bantuan kontena berkenaan. – MalaysiaGazette