Mat Nor menggunakan kayu dahan untuk memasak.

BALIK PULAU – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Barat Daya akan mempertimbangkan urusan memperbaiki bumbung rumah usang milik Mat Nor Abu Bakar di Jalan Kampung Genting, di sini.

Pegawai Warga Emas JKM Daerah Barat Daya, Mohd Ramli Mamma berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan ketua komuniti dan beberapa pihak dalam masa terdekat bagi mencari kata sepakat dalam membantu Mat Nor.

“Saya sudah bertemu dengan Mat Nor pada minggu lalu dan dia memberitahu tidak mempunyai masalah dari segi makanan namun memerlukan bantuan bagi membaiki bumbung rumahnya yang bocor dan usang.

“Kita akan lihat semula sama ada akan menggunakan wang bantuan JKM yang tidak diambil Mat Nor itu bagi membaiki bumbung atau memberi peruntukan baharu untuk tujuan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd Ramli berkata, semakan juga mendapati Mat Nor menerima bantuan JKM sebanyak RM350 sebulan sejak 2002 dan jumlahnya dinaikkan kepada RM500 sebulan sejak Januari lalu.

“Warga emas itu didapati tidak pernah mengeluarkan wang bantuan berkenaan sejak 2015 mungkin berikutan beberapa faktor termasuk tiada kenderaan ke bank,” ujar beliau.

ARTIKEL BERKAITAN : 

Warga emas rayu baiki bumbung rumah usang

Pada Jumaat lalu MalaysiaGazette melaporkan seorang warga emas meminta bantuan membaiki bumbung rumahnya yang bocor.

Mat Nor Abu Bakar,77, merupakan warga emas yang tinggal seorang diri di rumah pusaka peninggalan ibu dan bapanya di Kampung Genting, Balik Pulau di sini. – MalaysiaGazette

  

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast