Pengarah JKM Bahagian Kebajikan Produktif Wilayah Persekutuan, Che Samsuzuki Che Noh bercakap kepada media selepas menyita Rumah Bonda

KUALA LUMPUR – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini menyita rumah penjagaan dan perlindungan, Rumah Bonda, di Wangsa Maju, di sini selepas notis mengosongkan kediaman berkenaan dikeluarkan pada 9 Julai lalu.

Pengarah JKM Bahagian Kebajikan Produktif Wilayah Persekutuan, Che Samsuzuki Che Noh berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan ke atas rumah jagaan berkenaan kerana didapati tidak pernah mendaftar operasi dengan agensi tersebut.

“Untuk masa ini kita telah mengambil langkah-langkah proaktif, di mana kita dapati ada beberapa pelanggaran syarat dalam mengoperasikan premis sebagai pusat jagaan,” katanya ketika ditemui selepas menyita selepas menyita Rumah Bonda hari ini.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai seorang kanak-kanak penghidap sindrom down Syndrome yang menginap di Rumah Bonda dikenali Bella disyaki didera.

Dalam laporan polis 24 Jun lalu, Bella didapati mempunyai kesan melecur di dada, tangan, leher dan paha serta kesan luka di bahagian badan lain, selain disahkan positif Covid-19

Ditanya mengenai status kanak-kanak menghidap sindrom down, Bella, disyaki didera ketika menghuni di Rumah Bonda, Che Samsuzuki berkata, kanak-kanak berusia 13 tahun itu kini ditempatkan di Taman Sinar Harapan, Tengku Ampuan Najihah, Negeri Sembilan.

Beliau berkata, pihaknya telah menyerahkan kes itu kepada polis untuk siasatan lanjut.

Namun, tambah beliau, hasil temubual JKM bersama Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun, wanita itu ada menyatakan kanak-kanak itu agak degil.

“Dia (Siti Bainun) tidak mengatakan dia mendera, tetapi hanya pukul-pukul manja,” jelasnya.

Dalam pada itu, Che Samsuzuki berkata, JKM telah menempatkan kanak-kanak lain yang menetap di Rumah Bonda ke institusi-institusi kebajikan berdaftar dan ia dilakukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Kesemua 19 penghuninya yang terdiri daripada wanita berusia 18 hingga 33 tahun dilaporkan telah kembali kepada keluarga masing-masing, tinggal di rumah saudara-mara atau ditempatkan di rumah-rumah jagaan yang dikendalikan badan bukan kerajaan (NGO). – MalaysiaGazette