KUALA LUMPUR – Sebanyak lebih 27,000 keluarga asnaf di Wilayah Persekutuan yang memerlukan bantuan dengan kutipan zakat.

Justeru untuk memastikan lebih ramai asnaf dapat dibantu terutamanya dalam waktu pandemik Covid-19 ini, Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melancarkan Kempen Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB).

Jelas Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Hakim Amir Osman, kempen itu digerakkan untuk menggalakkan lebih ramai pekerja sektor swasta dan awam membayar zakat.

“Objektif utama menyeru pekerja-pekerja swasta kerajaan yang mempunyai pendapatan tetap untuk berkongsi dengan lebih lagi buat potongan zakat bulanan bilangan asnaf bertambah masa.

“Pandemik Covid-19 telah menyebabkan berlakunya peningkatan bilangan asnaf di Wilayah Persekutuan apabila ramai yang hilang punca pendapatan akibat dibuang kerja, dipotong gaji atau
terpaksa menutup perniagaan.

“Semakin meningkat bilangan asnaf semakin menigkat keperluan zakat untuk kita agihkan kepada asnaf,” katanya ketika Majlis Pelancaran Skim PZB yang disiarkan menerusi Facebook hari ini.

Menurut Abdul Hakim, kempen yang berslogankan ‘Sedikit dikongsi banyak disyukuri’ ini akan berlangsung selama enam bulan bermula Julai hingga Disember 2021.

Kempen yang sama, katanya, terbuka kepada semua pembayar zakat melalui saluran Skim PZB sama ada baharu atau dalam kalangan yang mahu menambah jumlah potongan zakat menerusi dalam talian sahaja.

Tambahnya lagi, skim ini bukan hanya akan memberi manfaat kepada penerimanya, malah memberi kelebihan kepada pembayar zakat, antaranya adalah menerima 100 peratus rebat cukai pendapatan individu.

Selain itu, pembayar juga dalam masa yang sama boleh menyelaraskan zakat dengan Potongan Cukai Berjadual (PCB).

“Selain itu pengeluar turut diberi perlindungan khairat kematian selain akan dapat merancang perbelanjaan pengeluar dan selain menjimatkan masa kerana boleh dibuat secara dalam talian,” kata beliau lagi.

Sementara itu Abdul Hakim memaklumkan skim itu turut menawarkan hadiah kepada 102 orang pembayar bertuah, antaranya komputer riba, e-wallet.

Untuk rekod, mengikut data daripada MAIWP yang berperanan menjalankan agihan zakat di Wilayah Persekutuan, jumlah penerima bantuan zakat yang terdiri daripada ketua keluarga meningkat sebanyak 35 peratus daripada 43,353 asnaf pada tahun 2019 kepada 59,419 penerima pada tahun 2020.

PPZ-MAIWP mensasarkan untuk memungut RM800 juta zakat tahun ini.

Manakala bagi tempoh Januari hingga Jun 2021, jumlah penerima bantuan zakat dilihat terus meningkat sebanyak 47,483 penerima.-MalaysiaGazette