KUALA UMPUR – Nilai jualan perdagangan borong & runcit mencatatkan RM108.3 bilion pada Mei 2021, melonjak 28.3 peratus tahun ke tahun.
Subsektor yang menyumbang kepada peningkatan ini adalah perdagangan borong yang meningkat 31.2 peratus atau RM12.7 bilion kepada RM53.4 bilion.
Perdagangan runcit turut berkembang 17.3 peratus atau RM6.4 bilion kepada RM43.3 bilion.
Kenderaan Bermotor juga menunjukkan peningkatan yang ketara iaitu RM4.8 bilion atau 71.1 peratus kepada RM11.6 bilion.
Walau bagaimanapun, bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan merosot 2.5 peratus pada Mei 2021, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan 31.2 peratus bagi perdagangan borong pada Mei 2021 disokong oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang melonjak 70.5 peratus atau RM9.0 bilion kepada RM21.7 bilion.
Ini diikuti oleh jualan borong barangan isi rumah yang meningkat 14.3 peratus atau RM1.2 bilion untuk berada pada RM9.8 bilion.
Jualan borong jentera, peralatan & bekalan turut meningkat 27.9 peratus kepada RM4.4 bilion diikuti oleh jualan borong makanan, minuman & tembakau yang tumbuh 7.4 peratus kepada RM10.5 bilion.
Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan subsektor ini meningkat 0.8 peratus.
Kenaikan 17.3 peratus dalam perdagangan borong disumbangkan oleh jualan barangan keperluan dan juga barangan bukan keperluan terutama jualan runcit di kedai khusus dengan 24.5 peratus kepada RM8.6 bilion, diikuti oleh jualan runcit barangan isi rumah dengan 32.2 peratus untuk mencatat RM5.8 bilion dan jualan runcit kelengkapan informasi & komunikasi yang meningkat 35.6 peratus kepada RM4.8 bilion.
Pada tempoh yang sama, jualan barangan keperluan terus mencatatkan pertumbuhan positif khususnya dalam jualan runcit bahan api kenderaan yang mencatatkan 26.6 peratus kepada RM3.4 bilion tahun ke tahun, diikuti jualan runcit di kedai bukan pengkhususan dan jualan runcit barangan kesenian & rekreasi yang tumbuh masing-masing 4.0 peratus dan 28.0 peratus.
“Walaupun nilai jualan Perdagangan Runcit mencatatkan pertumbuhan positif tahun ke tahun, jika dibandingkan dengan April tahun ini, subsektor ini mengalami penguncupan sebanyak 2.2 peratus disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dari 12 Mei hingga 7 Jun 2021.
”Sebilangan besar kumpulan di bawah subsektor perdagangan runcit mencatat pertumbuhan negatif terutama dalam jualan runcit di kedai bukan pengkhususan dan jualan runcit di kedai Kkhusus masing-masing -3.2 peratus dan -3.8 peratus,” jelas Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.
Subsektor kenderaan bermotor tumbuh 71.1 peratus pada bulan ini, dipacu oleh jualan kenderaan bermotor yang melonjak 99.8 peratus kepada RM6.3 bilion diikuti oleh jualan komponen & aksesori kenderaan bermotor dengan 55.7 peratus untuk merekodkan RM2.8 bilion.
Penyelenggaraan & pembaikan kenderaan bermotor juga tumbuh 39.9 peratus kepada RM1.4 bilion diikuti oleh jualan, penyelenggaraan & pembaikan motosikal dengan pertumbuhan 31.6 peratus untuk mencapai RM1.0 bilion.
Sebaliknya, subsektor kenderaan bermotor menurun 16.2 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Mohd Uzir berkata, indeks jualan runcit sebarang jenis produk melalui internet yang menggambarkan aktiviti e-dagang merekodkan pertumbuhan 15.8 peratus tahun ke tahun (April 2021:22.0 peratus).
Bagi pelarasan musim, indeks ini jatuh 0.6 peratus berbanding bulan sebelum. – MalaysiaGazette