Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki.

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta mengurangkan kerenah birokrasi dalam permohonan bantuan oleh kerajaan yang didakwa mengeliru dan menyusahkan rakyat.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki mendakwa pihaknya menerima banyak aduan dan keluhan rakyat yang gagal mendapat Bantuan Prihatin Rakyat (BPR/BPN 2.0) atas pelbagai alasan.

Menurutnya, kerajaan umum siapa tak dapat bantuan boleh merayu namun masalah utamanya apabila rakyat merayu, pelbagai kerenah birokrasi mula dihadapi.

Antaranya, pelbagai dokumen tambahan diminta dihantar termasuk sijil kahwin bagi yang berkeluarga, sijil kematian bagi ibu tunggal, masalahnya bukan semua rakyat ada kemudahan printer atau scanner untuk dihantar dokumen-dokumen tersebut secara dalam talian.

Ada juga yang hadapi pengalaman permohonan rayuan perlu disalurkan ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terdekat bagi mendapatkan borang secara manual dan tidak boleh diperolehi secara dalam talian.

Apabila dokumen sudah diproses, ditetapkan pula masa temujanji.

“Masalahnya macam mana hendak bergerak ke LHDN terdekat sedangkan ramai berhadapan PKPD yang membataskan pergerakan.

“Dalam surat LHDN pula terang-terang mengatakan surat itu tidak boleh digunakan untuk merentas daerah. Jika tidak hadir, bermakna temujanji terbatal dan rayuan dianggap gagal,” tulisnya di Facebook beliau.

Jelasnya, semua birokrasi yang perlu dilalui rakyat ini hanya untuk mendapatkan tambahan BPR sebanyak RM500.

Soal Asyraf, apa salahnya mengambil contoh kaedah negara-negara Maju seperti United Kingdom yang mempermudahkan rakyatnya hanya dengan deklarasi kendiri dan semua urusan berasaskan prinsip kepercayaan.

Ironinya, Malaysia telah menetapkan sasaran untuk menjadi Negara Maju sejak tahun 2020 namun mentaliti dan urusan kerajaan masih seperti negara dunia Kketiga.

”Sudah-sudahlah dengan isu birokrasi dan koordinasi yang tidak henti-henti mengelirukan dan menyusahkan rakyat! Permudahkanlah,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast